23 December 2014

AJARAN SESAT ZAMRE AB WAHAB

1. TAHUKAH ANDA SIAPA ZAMRE AB WAHAB? Dialah salah seorang rakyat Malaysia yang pernah mengaku Rasul selain daripada Abdul Kahar.

2. Zamre menggunakan pelbagai nama lain, antaranya ialah Dr. Ha Zamre, P. Alt HA Zamre, Masa Bayu dan Palto HA Zamre.

3. Kini dia aktif memasarkan produk berasaskan hablur tawas (alum crystal/شَبّ) dan gula batu (rock candy/سُكَّر نَبَات). Produk tersebut dinamakan Hablur ABA24 Campuran Garam Gula, dan juga IK24 atau Indokristal (Immunotherapy-13). Ubatan tawas ini telah lama digunakan sebagai ubat oleh tamadun-tamadun terdahulu, namun Zamre mendakwa kononnya dialah yang menciptanya.

4. Ibnu Sina telah menceritakan pelbagai kegunaan hablur tawas dan gula batu dalam Kitab Al-Qanun Fit Tibb yang sangat terkenal itu. Tawas bersifat kelat (astringent) dan masam (sour). Sifat kelat atau astringen itu sangat baik untuk mengecutkan kanser, mengecutkan luka dan menghentikan pendarahan. Tawas juga digunakan untuk merangsang sistem imuniti sepertimana yang digunakan dalam pembuatan vaksin.

5. Zamre juga mendakwa kononnya dia telah mengasaskan satu ilmu baru yang dinamakan Alamtologi, sedangkan kebanyakannya sudah disebut dalam sains dan matematik sedia ada, seperti tajuk hermeticism, crystallography, lattice pathway, binomial theorem, lattice theory dan fractal pattern.
-----------------------------------

Berikut adalah kenyataan oleh Portal Rasmi Fatwa Malaysia;


Ajaran Zamre Bin Ab. Wahab
Tarikh Keputusan: 24 May, 2003
Keputusan:

Ajaran Zamre bin Ab. Wahab adalah menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar. Ini adalah kerana ajaran tersebut didapati -

(a) mendakwa boleh menunaikan Haji hanya dengan mengerjakannya di Sungai Congkak, Hulu Langat sahaja;
(b) mendakwa dirinya sebagai Rasulullah;
(c) menukar nama pengikutnya dengan nama sahabat-sahabat bagi lelaki dan dengan nama isteri-isteri Nabi bagi pengikut wanita; dan
(d) mengamalkan nikah batin dengan 6 orang termasuk pelajar dan seorang pegawainya.

Oleh yang demikian, umat Islam dilarang mengamalkan ajaran itu.

-----------------------------------

Jabatan Mufti Negeri Melaka pula menyatakan seperti berikut; 



Fatwa 14 
Ajaran Zamre Bin Ab. Wahab 

LATARBELAKANG 

• Guru ajaran ini adalah Zamre bin Ab. Wahab, nombor kad pengenalan 660717-01-5271 berasal dari Segamat, Johor. Mendapat pendidikan di High School, Klang dan menyambung pelajarannya di Institut Tun Abdul Razak di samping pernah menuntut di beberapa buah pondok di negeri Pahang. Beliau juga pernah bekerja di beberapa buah syarikat elektronik dan beberapa kali menubuhkan syarikat perniagaan tetapi semuanya menemui kegagalan. 

• Bagaimanapun, pada pertengahan tahun 1999, beliau sekali lagi menubuhkan sebuah syarikat perisian komputer. Syarikat yang diberi nama Syarikat Ketupat Sistem Sdn. Bhd. ini adalah sebuah syarikat berdaftar untuk perniagaan Teknologi Maklumat (IT) yang beralamat No. 16A, Jalan Anggerik Aranda 31D, 40460 Kota Kemuning, Shah Alam, Selangor. Syarikat tersebut mempunyai 28 orang pegawai termasuk beliau sendiri sebagai Pengarah Urusan. 

• Pada peringkat awal, operasi syarikat ini berjalan seperti biasa. Walaubagaimanapun, setelah beberapa bulan beroperasi, beberapa orang pegawainya memohon untuk berhenti kerana tidak mendapat gaji sepertimana yang dijanjikan. Syarikat ini juga telah menawarkan kepada beberapa institusi pengajian tinggi untuk memberi peluang kepada pelajar-pelajarnya menjalani latihan praktikal di syarikat itu. Sehubungan itu, Universiti Teknologi Malaysia, Skudai, Johor telah menghantar seramai 19 orang pelajar lelaki dan perempuan manakala Politeknik Engku Omar juga turut menghantar beberapa orang pelajarnya. 

• Jabatan Agama Islam Selangor telah menahan Zamre bin Ab. Wahab bersama isteri dan tiga orang pengikutnya untuk disoalsiasat pada bulan September 2000 dan telah ditahan di lokap Balai Polis Gombak. Setelah bebas, beliau telah meneruskan agenda gerakan dan ajaran di Melaka sebagai kesinambungan daripada operasinya di Selangor dan Sabah. 

• Sekitar bulan Disember 2001, beliau telah berpindah ke Melaka dan menubuhkan syarikat barunya iaitu Nahltec Incorporated yang beralamat di No. 11, Jalan 2/2, Taman Melaka Baru, Batu Berendam, 75350 Melaka. Perpindahan beliau ke Melaka adalah dengan tujuan untuk mengelakkan diri daripada tindakan undang-undang pihak berkuasa negeri Selangor kerana ajaran beliau ini telah difatwakan menyeleweng di negeri tersebut. 

• Beliau juga pernah merancang dan bersiap sedia pergi ke Sharjah, United Arab Emirates bersama pengikutnya bagi mengembangkan ajarannya. Rancangan beliau ini telah didedahkan oleh isteri salah seorang pengikutnya yang enggan mengikut suaminya ke United Arab Emirates. 

• Sehingga kini beliau telah mempengaruhi beberapa individu yang bekerja di sektor perindustrian swasta di negeri Melaka dan kebanyakan mereka adalah mahir dalam bidang pengkomputeran. 

CIRI-CIRI AJARAN 

• Ketika di Selangor, beliau sering mengadakan tazkirah pada setiap hari di pejabat beliau bermula dari 8.30 pagi hingga 9.30 pagi manakala di rumah beliau iaitu di Taman Seri Sentosa, Klang, kelas pengajian akan bermula pada pukul 10.00 malam hingga tengah malam dan sekali-sekala kelas ini berlanjutan hingga jam 3.00 pagi. 

• Selepas berpindah ke Melaka, beliau turut melakukan perkara yang sama iaitu mengadakan tazkirah di pejabatnya bermula jam 8.30 pagi hingga 9.30 pagi. Manakala di rumahnya yang beralamat No. 11, Jalan 2/2, Taman Melaka Baru, Batu Berendam, 75350 Melaka, beliau akan memulakan pengajian pada jam 10.00 malam hingga lewat malam dan ada kalanya berlanjutan hingga jam 3.00 pagi. 

• Antara dakwaan, perlakuan dan ciri-ciri ajaran beliau adalah seperti berikut: 

1. Mendakwa menunaikan haji cukup hanya mengerjakannya di Sungai Congkak sahaja. 

2. Mendakwa diri beliau sebagai Rasulullah iaitu dengan membuat kenduri arwah sempena kematian beliau, beberapa ketika seolah-olah beliau baru dihidupkan semula dengan berpura-pura bertanyakan sesuatu benda yang berada di sekeliling beliau. Untuk meyakinkan pengikutnya beliau membesarkan suara (seolah firman Allah) dengan berkata dalam bahasa Melayu bahawa beliau adalah Rasulullah yang sebenar. Perkara ini dilakukan kerana terdapat beberapa orang pengikut yang tidak dapat menerima dakwaan beliau itu. 

3. Menukar nama pengikutnya dengan nama sahabat bagi lelaki dan isteri-isteri nabi bagi pengikut wanita. Penukaran ini bukan mengambil sempena nama para sahabat tetapi beliau mendakwa nama-nama tersebut adalah sahabat yang sebenar yang telah dihidupkan semula. 

4. Mengamalkan nikah batin. Beliau bercadang akan mengumpulkan seramai 15 orang wanita termasuk pegawai dan pelajar praktikal yang telah ditukar nama kepada isteri- isteri nabi. Setakat ini seramai 9 orang wanita telah berjaya dinikahi. 

5. Mengaku mengadakan hubungan seks dengan 6 orang termasuk pelajar dan pegawainya yang dinikahi secara batin dengan disaksikan oleh isterinya yang sah di sebuah rumah beliau di Taman Sentosa, Bukit Kemuning, Shah Alam dan di sebuah rumah pangsa di Bandar Kota Kinabalu, Sabah. Perkara ini juga didedahkan oleh kesemua wanita itu setelah sedar mereka diperalatkan semata-mata untuk tujuan seks. 

6. Mendakwa seseorang pengikutnya akan binasa selepas tujuh langkah keluar dari tempat pengajian sama ada di rumahnya atau di pejabatnya, sekiranya tidak mengaku atau tidak mempercayai bahawa beliau adalah Rasulullah yang sebenarnya. 

7. Mendakwa hari qiyamat akan berlaku pada bila-bila masa bermula dari sekarang. 

8. Mendakwa orang yang sudah mati boleh hidup semula melalui roh dan jasadnya. Ini adalah untuk mengukuhkan lagi dakwaan bahawa beliau adalah Rasulullah yang sebenarnya, begitu juga dengan para isterinya. Hujah beliau adalah melalui ayat Al-Qur’an di dalam Surah Al-Baqarah mengenai kisah seorang lelaki yang mati dibunuh bangun semula memberitahu siapa pembunuhnya. Oleh itu, ada ketikanya beliau menamakan dirinya sebagai Ahmad. 

9. Menukar syahadah dengan menyebut: 

لا إله إلا الله أنا محمد رسول الله

10. Mendakwa telah dibelah dan dicuci dadanya sebelum ini dan mengaku selepas kejadian itu beliau dapat memahami Al- Qur’an dan dapat mencipta satu operating system. 

11. Mendakwa bahawa Al-Qur’an itu adalah satu source code. Beliau dapat mencipta operating system ini kerana beliau memahami source code komputer yang terdapat dalam Al-Qur’an. 

12. Mengaku di hadapan pengikutnya bahawa beliau pernah berjumpa dajjal dan beliau menjadi pemimpin apabila satu pengisytiharan yang akan berlaku di Kota Makkah dalam masa 2 hingga 3 tahun akan datang. 

13. Mendakwa bahawa Nabi Ibrahim bukan contoh yang baik kerana Nabi Ibrahim pernah berdusta. 

14. Mendakwa bahawa beliau tidak mempercayai mana-mana ulama’ di Malaysia kerana kefahaman ulama’-ulama’ ini tidak betul. 

KEPUTUSAN FATWA 

• Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka telah mengambil maklum dan bersetuju menerimapakai fatwa Negeri Selangor yang telah diwartakan pada 2001 yang memutuskan bahawa: 

1. Ajaran Zamre bin Ab. Wahab adalah menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar. Ini adalah kerana ajaran tersebut didapati:  
a) mendakwa boleh menunaikan haji hanya dengan mengerjakannya di Sungai Congkak, Hulu Langat sahaja.  
b) mendakwa dirinya sebagai Rasulullah. 
c) menukar nama pengikutnya dengan nama sahabat-sahabat bagi lelaki dan dengan nama isteri-isteri Nabi bagi pengikut wanita. 
d) mengamalkan nikah batin dengan 6 orang termasuk pelajar dan seorang pegawainya.  
Oleh yang demikian, umat Islam dilarang mengamalkan ajaran itu.  
2. Orang yang telah mengambil ijazah atau mengamalkan ajaran Zamre bin Ab. Wahab hendaklah segera bertaubat dan memohon keampunan kepada Allah subhanahu wata`ala.


TAMMAT

22 November 2014

TAWAS SEBAGAI UBAT





Golongan muda masa kini tidak ramai yang mengenali apa itu tawas (alum). Tawas terkenal sebagai penjernih air telaga. Memandangkan telaga sudah jarang digunakan pada zaman sekarang maka tidak ramai yang tahu dengan lebih lanjut tentang tawas.

NATUR TAWAS

Tawas merupakan sejenis garam galian yang berada dalam bentuk kristal (alum crystal). Kristalnya berbentuk oktahedron, sepertimana kristal fluorit (fluorite crystal). Kimia tawas ialah kalium aluminium sulfat (potassium aluminium sulphate/potash alum). Tawas mempunyai dua rasa yang utama iaitu kelat (astringent) dan masam (acidic).

KEGUNAAN TAWAS

Tawas telah digunakan oleh manusia sejak dahulu kala dalam pelbagai bidang. Tawas boleh digunakan untuk merawat air dengan memisahkan bahan kotor daripada air. Bahan kotor tersebut akan mendap di bawah, manakala air yang bersih dan jernih akan berada di atas mendapan tersebut.

Tawas juga digunakan dalam masakan khususnya dalam pembuatan roti. Selain itu, tawas merupakan salah satu bahan yang digunakan untuk menghasilkan pemadam api. Tawas boleh membersihkan kulit haiwan seperti kulit lembu dan kulit kambing. Tawas juga dijadikan bahan utama dalam produk kosmetik untuk menghilangkan bau badan.

Dalam Perubatan Moden, tawas digunakan untuk menghasilkan vaksin. Tawas bertindak sebagai bahan adjuvan dalam vaksin yang dihasilkan. Adjuvan akan meningkatkan kekuatan vaksin melalui pengaktifan dan perangsangan sistem imuniti.

TAWAS DALAM PERUBATAN IBNU SINA

Dalam Kitab Al-Qanun Fit Tibb (The Canon of Medicine), Ibnu Sina telah menyatakan pelbagai kegunaan tawas. Antara kegunaannya adalah untuk menghentikan pendarahan, merawat luka dan mencuci mulut melalui perkumuran.

Berdasarkan disiplin Medikologi, rasa kelat dan masam kedua-duanya bersifat sejuk. Kelat bersifat sejuk-kering mewakili Unsur Tanah, manakala masam bersifat sejuk-basah mewakili Unsur Air. Dengan sebab itu tawas boleh mengecutkan luka yang disebabkan oleh kecederaan, kanser atau kencing manis. Dengan sifat sejuk ini juga adakalanya tawas menyebabkan seseorang itu rasa mengantuk dan lali. Dalam kimia moden sifat sejuk dikenali sebagai anabolik, manakala berdasarkan sains Islam klasik ia disebut proses kawn atau takwin. Ia berlawanan dengan sifat panas iaitu katabolik, fasad atau tafsid.

Bahagian Kedua Kitab Al-Qanun merupakan perbahasan mengenai Ubatan Tunggal (adwiyah mufradah/materia medica). Ibnu Sina menyatakan dalamnya bahawa rasa manis yang bercampur dengan rasa kelat sangat baik untuk organ-organ dalaman (viscera), ia dikenali sebagai Tonik Organ. Rasa manis yang bercampur dengan rasa masam pula menepati Formula Sakanjabin. Sakanjabin sangat baik untuk membuka salur darah dan mematangkan nutrien di dalam tubuh.

Gabungan antara Tonik Organ dan Formula Sakanjabin (manis+kelat+masam) boleh dihasilkan dengan mencampurkan gula yang manis dengan tawas yang kelat dan masam. Gabungan tawas dan gula dikenali sebagai Shakkar, ia sangat baik untuk beberapa penyakit khususnya penyakit jenis panas seperti radang (inflammation) dan barah (cancer).

Di Malaysia ada beberapa individu yang menggunakan kaedah ini. Namun ada pihak yang tidak jujur dalam menggunakan bahan ini. Zamre Ab Wahab yang menggunakan gelaran P. Alt / Palto HA Zamre dan Masa Bayu, telah menghasilkan produk berkonsepkan Shakkar, tetapi dia mencanangkan apa yang dihasilkannya itu sebagai gula dan garam natrium klorida (sodium chloride) dengan nama ABA24 Hablur Garam Gula, dan juga IK24 atau Indokristal (Immunotherapy-13).

Perkara ini sangat serius dan membahayakan kerana penggunaan tawas secara berleluasa tanpa kawalan dan tanpa pengetahuan pesakit boleh menimbulkan pelbagai masalah kesihatan. Oleh kerana tawas mengandungi aluminium, penggunaannya perlu dikawal dengan teliti dan tidak semua golongan sesuai mengamalkannya.

Tawas juga telah lama digunakan sebagai ubat oleh tamadun-tamadun terdahulu seperti yang terlihat dalam Perubatan Tradisional Cina dan Perubatan Ayurveda. Dalam Perubatan Ayurveda, tawas dikenali sebagai Phitkari, manakala dalam Perubatan Tradisional Cina ia dikenali dengan nama Bai Fan. Begitulah juga dengan Perubatan Melayu yang turut menjadikan tawas sebagai bahan untuk merawat penyakit.

TAMMAT

SYARAH HIKMAH NAZARIYYAH





1. Sebelum ini telah saya nyatakan huraian ringkas mengenai cabang-cabang Hikmah yang paling dasar, yang mana daripadanya terkandung segala ilmu, termasuklah Medikologi (Hikmah Tibbiyyah). Namun, ada pihak yang kurang jelas dengan apa yang saya sampaikan, mungkin ia kesilapan saya dalam menghuraikannya, makna yang dikandungnya terlalu berat untuk dihurai dengan menggunakan beberapa perkataan sahaja. Jadi, saya syarahkannya secara ringkas di sini.

2. Seperti yang telah disebutkan, Hikmah Nazariyyah mengkaji Wujud (existent) yang wujud (exist/existing) tanpa ikhtiar manusia. Ia bererti kewujudan Wujud itu (the existence of that existent) memang telah sedia ada sebelum manusia mengkajinya. Contohnya ialah Wujud atom dan hukum-hukum gerakannya serta hukum-hukum tindak balasnya dengan Wujud yang lain. Contoh lain ialah hakikat dan tabi'at bagi bilangan (number/'adad) dan juga rupa atau forma (form/surah). Kedua-dua contoh yang saya sebutkan di sini, telah wujud dan berlaku sebelum manusia mentela'ahnya.

3. Hikmah Nazariyyah juga merupakan aspek 'pemasukan' ke dalam jiwa, berbeza dengan Hikmah Amaliyyah yang merupakan aspek 'pengeluaran' daripada jiwa. Wujud bagi Hikmah Amaliyyah, wujud dengan ikhtiar dan pilihan manusia. (Ini merupakan kenyataan umum, kerana saya mempunyai pernyataan tersendiri dalam aspek pemilihan perbuatan manusia, ikhtiyari-ijbari.)

4. Hikmah Nazariyyah boleh dibahagikan kepada dua iaitu Nazariyyah Umumiyyah dan Nazariyyah Khususiyyah. Perhatikan dengan teliti mengenai perbezaan antara kedua-duanya. Umumiyyah membincangkan ciri-ciri yang merangkumi semua Wujud yang wujud, sama ada ia Khaliq atau Makhluq, sama ada ia Khariji (external); atau Zihni (mental); atau bukan Khariji dan Zihni, iaitu Ilahi. Dengan kata lain, Umumiyyah membincangkan ciri-ciri yang dikongsikan secara bersama oleh semua jenis wujud.

5. Khususiyyah pula, membincangkan ciri-ciri yang khusus dan spesifik bagi Wujud yang tertentu sahaja. Ini bererti, ciri tersebut hanya dimiliki oleh sesuatu Wujud tanpa dikongsi dan dimiliki oleh Wujud lain. Contohnya ialah ciri 'membakar' (ihraaq) dan ciri 'terbakar' (ihtiraaq). Kedua- dua ciri ini hanya ada pada Wujud Khariji, iaitu Wujud di alam luaran kita yang bersifat fizikal dan mampu dicerap oleh deria luaran. Antara Wujud Khariji yang menerima ciri membakar ialah api, manakala antara Wujud Khariji yang menerima ciri terbakar ialah kertas. Tidak semua Wujud Khariji menerima ciri ini.

6. Kita lihat pula contoh ciri yang dikongsi bersama oleh semua Wujud dan boleh diaplikasikan kepada semua Wujud. Secara umum, semua Wujud boleh dikaji dengan menilai tiga aspek ciri iaitu Zat (bahan/substance), Sifat (ciri pegun/static properties) dan Fi'il (ciri gerak/dinamic properties). Pengkajian tentang Zat dinamakan Umumiyyah Zatiyyah atau Materiologi. Pengkajian tentang Sifat dinamakan Umumiyyah Wasfiyyah atau Statologi yang merangkumi Kuantologi (kammiyyah) dan Kualologi (kayfiyyah). Pengkajian tentang Fi'il dinamakan Umumiyyah Fi'liyyah atau Dinamologi yang merangkumi Kronologi, Kinetologi dan Reaksionologi.

7. Antara ciri Zatiyyah yang ada pada setiap Wujud ialah ke-ada-annya (wujud) dan ke-tiada-annya ('adam). Tuhan menerima ciri Ada; bilangan dan rupa menerima ciri Ada; begitu juga dengan alam semesta yang fizikal menerima ciri Ada. Tuhan memiliki ciri dinamiknya yang tersendiri seperti mencipta makhluq. Alam kematematikan di minda juga menerima ciri dinamik seperti yang berlaku apabila kita berkhayal atau bermimpi tentang pergerakan dan suasana tertentu. Contoh lain ialah ciri sebab-akibat yang turut meliputi semua Wujud. Tuhan menjadi sebab hakiki, makhluq lain adalah akibat daripada fi'il Tuhan. Di alam minda, ada nombor yang menjadi sebab bagi nombor lain, seperti mana yang dipelajari dalam tajuk 'pemfaktoran'.

8. Cuba kita letakkan ciri khusus Wujud Khariji seperti 'membakar' dan 'terbakar' pada alam minda atau alam Tuhan; tentulah ia tidak relevan. Hal ini adalah kerana kedua-dua ciri itu hanya khusus pada wujud Khariji, bahkan tidak semua Wujud Khariji menerima ciri itu. Jadi ia bersifat khusus kepada beberapa Wujud sahaja, tidak bersifat umum untuk Wujud-Wujud yang lain.

9. Mengenai jenis Wujud yang dikaji secara khusus, Wujud diklasifikasikan berdasarkan alam yang didudukinya. Kajian tentang ciri khusus Alam Khariji (dunia luaran yang fizikal) dinamakan Tabi'iyyah atau sains. Kajian tentang ciri khusus Alam Zihni (dunia mental) dinamakan Riyadiyyah atau matematik. Kajian tentang ciri khusus Alam Ilahi, iaitu alam yang luar daripada Alam Zihni dan Alam Khariji dinamakan Ilahiyyah atau teologi-usuluddin-kalam-tauhid-aqidah.

10. Adapun mengenai istilah Ontologi, maka ketahuilah bahawasanya Ontologi menghampiri kajian ciri umum pada semua Wujud, jadi ia sesuai juga dibandingkan dengan Nazariyyah Umumiyyah, bukan Khususiyyah. Jika ada yang mengatakan Ontologi merangkumi semua ilmu dan cabang Hikmah tanpa terkecuali, maka itu bukanlah sesuatu yang tepat. Bahkan ia sudah terkeluar daripada maksud dan tujuan asal ilmu Ontologi, ataupun dikenali juga dalam karya-karya falsafah Islam klasik sebagai ilmu Kulliyy.

11. Jika dikatakan ilmu Matematik merupakan cabang bagi Ontologi hanya kerana terdapat sedikit persamaan dengan Ontologi, maka saya juga boleh mengatakan bahawa ilmu Biologi adalah cabang Matematik hanya kerana ada sedikit persamaan dengan ilmu Matematik, seperti dalam tajuk Pembahagian Sel yang menggunakan kuasa dua dari sudut bilangannya (1-2-4-8-16-32-64-...). Saya sangat tidak gemar dengan hujah-hujah yang bersifat tempelan dan tempekan.

12. Saya tidak maksudkan Existologi atau Hikmah ini sebagai;
البحث عن الوجود بما هو موجود 
atau 
البحث عن الوجود من حيث هو موجود 
Tetapi apa yang saya maksudkan ialah; 
البحث عن الوجود 
"Kajian Wujud" 
Saya juga tidak maksudkannya sebagai aliran Existensialisme yang menjadi lawan bagi Esensialisme, kerana mahiyyah dan esens itu sendiri merupakan sejenis Wujud juga. 

TAMMAT

21 November 2014

HIKMAH, ILMU, FALSAFAH DAN EXISTOLOGI





1. Hikmah-Ilmu-Falsafah-Existologi merupakan kajian mengenai "wujud" (البحث عن الوجود). Sumber epistemologi bagi Existologi ialah Revelasi (wahyu), Rasional (aqal) dan Empirik (deria). Ada Wujud yang wujud sebagai alat bagi tujuan tertentu, ada Wujud yang wujud sebagai tujuan bagi alat tertentu.

2. Wujud jenis alat dinamakan Aliyyah, ia merangkumi alat bagi lisan dan alat bagi aqal. Alat bagi aqal dinamakan Mantiqiyyah (logik), ia mengawal proses-proses makna di minda. Alat bagi lisan dinamakan Lughawiyyah (bahasa), ia bertindak mengawal proses-proses suara di lidah. Bahasa menjadi medium untuk menyampaikan makna di minda seseorang kepada minda individu lain.

3. Dengan logik dan bahasa, pelbagai jenis makna atau Wujud dapat diproses, difikir dan difahami. Makna-makna dan Wujud inilah yang menjadi tujuan bagi ilmu alat. Wujud jenis tujuan terdiri daripada dua, iaitu Wujud yang wujud tanpa ikhtiar manusia, dan Wujud yang wujud dengan ikhtiar manusia. Wujud tanpa ikhtiar manusia dinamakan Nazariyyah, iaitu perkara teoretikal, Wujud dengan ikhtiar manusia dinamakan Amaliyyah, iaitu perkara praktikal.

4. Nazariyyah terbahagi kepada dua iaitu perkara teoretikal yang terpakai kepada pelbagai jenis Wujud secara umum, dan perkara teoretikal yang terpakai kepada sesuatu Wujud secara khusus. Teoretikal umum dinamakan Umumiyyah, teoretikal khusus dinamakan Khususiyyah.

5. Umumiyyah membincangkan tiga aspek utama yang ada pada setiap jenis Wujud, sama ada secara mutlak iaitu Makhluq atau secara relatif iaitu Khaliq. Tiga aspek yang dimaksudkan ialah Zat, Sifat dan Fi'il. Ketiga-tiganya dinamakan sebagai Zatiyyah (Materiologi), Wasfiyyah (Statologi) dan Fi'liyyah (Dinamologi). Umumiyyah menghampiri perbincangan Ontologi yang ada dalam kebanyakan falsafah.

6. Khususiyyah pula membincangkan ketiga-tiga aspek tadi iaitu Zat, Sifat dan Fi'il yang ada pada setiap jenis Wujud secara khusus. Di sini, Wujud dibahagikan kepada tiga, iaitu wujud pada luaran (khariji), wujud pada minda (zihni) dan wujud bukan pada luaran juga bukan pada minda. Wujud luaran ialah alam semesta yang terbentang pada deria fizikal manusia, dinamakan Tabi'iyyah atau sains. Wujud minda ialah idea (aritmetik) dan imej (geometri) yang boleh difahami dan difikir oleh minda, dinamakan Riyadiyyah atau matematik. Wujud bukan luaran juga bukan minda ialah Tuhan, dinamakan Ilahiyyah atau teologi-tauhid-aqidah-kalam-usuluddin.

7. Sekarang kita lihat pula Hikmah Amaliyyah, iaitu Wujud yang wujud dengan ikhtiar manusia. Ia terbahagi kepada dua, iaitu ikhtiar manusia pada alam sekelilingnya, dan ikhtiar manusia pada dirinya sendiri. Ikhtiar manusia pada alam dinamakan Ibda'iyyah atau inovasi-teknologi. Di sinilah terletaknya semua jenis aplikasi ilmu teori khususnya ilmu sains dan matematik. Ibda'iyyah boleh dibahagikan kepada tiga menurut prioriti, iaitu Idtirariyyah, Ihtiyajiyyah dan Iktimaliyyah. Ia disusun berdasarkan keutamaan yang boleh dianalogikan sebagai air, cawan dan alas cawan.

8. Ikhtiar manusia pada dirinya sendiri dinamakan Tadbiriyyah kerana ia melibatkan pentadbiran manusia dalam tiga skala penting iaitu skala individu, keluarga dan masyarakat. Ketiga-tiga skala ini dinamakan sebagai Syakhsiyyah, Manziliyyah dan Madaniyyah. Setiap satu ini mempunyai aspek ekonomi, sosial dan politiknya yang tersendiri. Ada kalanya dikenali juga sebagai sains sosial. Perbincangan fiqh dan tasawwuf, hampir kesemuanya ada pada Tadbiriyyah.

TAMMAT

ISI KANDUNGAN BLOG

Blog ini akan berkongsi catatan-catatan mengenai ilmu dan pengalamanku serba sedikit. Tidaklah semua yang di minda dan jiwaku akan kukongsikan, kerana setiap ilmu itu tertakluk kepada penerimanya yang sesuai, pada ruang serta masa yang tepat.

Apa yang ditulis di sini tidaklah menunjukkan kefahaman dan peganganku yang mutlak, kerana aku yakin bahawa ilmu itu semakin hari semakin matang, adakalanya bertambah, adakalanya berubah. Ambillah apa yang terakhir daripada tulisanku. Sesungguhnya ilmu yang mutlak lagi sempurna hanyalah milik-Nya jua.

سبحانك لا علم لنا إلا ما علمتنا إنك أنت العليم الحكيم

Semoga Allah memberkati usahaku ini.
Semoga ditunjukkan aku ke jalan-Nya yang lurus lagi mulus.
Aameen.

11 November 2014

BISMILLAH

SAYA mulakan blog ini dengan lafaz yang agung lagi mulia; 

بسم الله الرحمن الرحيم

Segala puji yang tidak terkata, hanya untuk Tuhan semesta.
Lafaz selawat dan juga salam, untuk Rahmat sekalian alam.

Naseer Sobree
11:45 Malam,
11 November 2014,
SMKA Yan, Kedah Darul Aman.