22 May 2015

CARA MENGHASILKAN HABLUR TAWAS





1. Hablur tawas (alum crystal) sangat mudah untuk dihasilkan. Ia boleh digunakan untuk pelbagai tujuan termasuklah sebagai ubat. Ia digunakan dalam Perubatan Klasik dan Perubatan Moden.

2. Anda hanya perlukan serbuk tawas, bekas kaca dan air panas yang tidak lebih daripada 60 darjah Celcius.

3. Masukkan air panas ke dalam bekas kaca, kemudian masukkan serbuk tawas dan kacau sehingga larut. Kemudian biarkan begitu sahaja pada suhu bilik atau sejuk sedikit daripada suhu bilik.

4. Setelah beberapa jam, terbentuklah hablur tawas di lantai bekas kaca tersebut, inshaAllah. Selamat mencuba.

TAMMAT

Artikel terdahulu; Tawas Sebagai Ubat






14 May 2015

ASAS PERUBATAN GREEK-ARAB-MELAYU ( SIRI 1)

Oleh : Naseer Sobree

1. Kali ini saya akan membentangkan kepada para pembaca sekalian mengenai asas-asas Perubatan Greek-Arab-Melayu (PEGAM), iaitu sebuah sistem perubatan yang secara rasminya telah diasaskan oleh tokoh-tokoh Greek (Yunani), kemudian dikembangkan oleh tokoh-tokoh berbangsa Arab atau berbahasa Arab, kemudian sistem yang sama juga digunakan oleh rumpun Melayu pada suatu masa dahulu. Sistem ini dipelajari di Eropah dan dikaji sehingga berkembang menjadi Perubatan Moden atau Perubatan Konvensional atau Perubatan Alopati atau Perubatan Barat.

2. Secara keseluruhan, perbincangan dalam PEGAM terbahagi kepada 3 bahagian iaitu; Perubatan Umum, Perubatan Khusus dan Bahan Perubatan. Perubatan Umum ialah perbincangan yang berkait dengan prinsip-prinsip perubatan secara menyeluruh tanpa dikaitkan dengan organ tertentu secara khusus. Perubatan Khusus pula ialah perbincangan yang berkait dengan organ-organ tertentu secara khusus. Manakala Bahan Perubatan membincangkan bahan-bahan yang digunakan dalam PEGAM.

3. Untuk asas-asas PEGAM, saya akan menyatakan mengenai Perubatan Umum sahaja. Perubatan Umum terbahagi kepada dua iaitu; Perubatan Teoretikal dan Perubatan Praktikal. Perubatan Teoretikal membincangkan konsep-konsep yang terlibat dalam perubatan. Perubatan Praktikal pula membincangkan aplikasi-aplikasi perubatan yang dimanipulasi daripada konsep-konsep perubatan, demi mencapai dua tujuan utama ilmu perubatan iaitu; mengekalkan kesihatan dan menghilangkan kesakitan.

4. Secara asasnya, bidang perubatan melibatkan manusia, sama ada rohaninya iaitu ruh, atau jasmaninya iaitu jasad. Manusia boleh berada dalam dua keadaan iaitu; sihat dan sakit. Kedua-dua keadaan itu ada puncanya, contohnya nutrien yang cukup menjadi punca sihat, manakala nutrien yang terlebih atau terkurang menjadi punca sakit. Kedua-dua keadaan itu juga ada tandanya, contohnya fungsi organ yang sempurna sebagai tanda sihat, dan fungsi organ yang terlebih atau terkurang sebagai tanda sakit. Namun ada juga keadaan sederhana antara sihat dan sakit, keadaan sederhana ini akan saya huraikan pada perenggan akan datang, inshaAllah.

5. Berdasarkan perenggan ke-4 dapatlah kita ketahui tajuk-tajuk yang dibincangkan dalam Perubatan Teoretikal, iaitu 4 tajuk konseptual seperti berikut; Keadaan Sihat, Keadaan Sakit, Punca Keadaan dan Tanda Keadaan. Kita juga dapat mengetahui perbincangan Perubatan Praktikal iaitu cara-cara untuk menghadapi dua keadaan manusia, melalui 2 tajuk aplikatif seperti berikut; Penjagaan Kesihatan untuk menghadapi Keadaan Sihat dan Perawatan Penyakit untuk menghadapi Keadaan Sakit.

Bersambung, inshaAllah...

HABLUR TAWAS (ABA24, Immunotherapy-13) DAN AJARAN SESAT

1. Sebelum ini saya pernah menulis dua artikel mengenai penggunaan hablur tawas sebagai ubat oleh seorang pengasas ajaran sesat iaitu Zamre Ab Wahab yang menggunakan pelbagai gelaran seperti Dr. HA Zamre, Masa Bayu dan Palto HA Zamre. Selain itu, Zamre juga pernah mengaku sebagai Rasulullah.

2. Tawas itu dicampurkan dengan gula batu, tetapi didakwa sebagai garam (sodium chloride) dan gula (sucrose). Produk itu dinamakan sebagai ABA24 Hablur Garam Gula (Immunotherapy-13). Untuk pasaran Indonesia, produk itu mungkin akan dilancarkan dengan nama IK24 atau Indokristal.

3. Ada pihak tertentu yang cuba menafikan artikel saya dengan membawakan bukti-bukti palsu, kononnya saya melakukan fitnah. Sedangkan merekalah yang menipu orang ramai dan diri sendiri.

4. Pihak tersebut menunjukkan laporan makmal dan juga surat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), yang bertujuan untuk membuktikan bahawa produk itu tidak mengandungi tawas. 

5. Sebenarnya mereka telah melakukan penipuan. Mereka telah menipu KKM dalam borang produk. Ruangan tentang bahan produk telah diisi sebagai gula (sucrose) dan garam (sodium chloride), sedangkan bahannya ialah tawas (alum) dan gula (sucrose).

6. Begitulah juga dengan laporan makmal, itu juga satu penipuan kerana sampel bahan yang dihantar kepada makmal ialah gula (sucrose) dan garam (sodium chloride), bukannya hablur campuran tawas dan gula.

7. Mereka juga cuba membuktikan hablur yang dijual itu bukan tawas dengan membuat 'eksperimen' yang menunjukkan perbezaan kesan hablur itu dan kesan tawas terhadap air kotor, di mana kelihatan tawas lebih kuat membersihkan air kotor berbanding hablur itu.

8. Sebenarnya, kesan pembersihan oleh hablur itu lebih lemah berbanding tawas kerana hablur itu telah dicampur dengan gula, manakala tawas yang tidak dicampur dengan gula lebih kuat kesan pembersihannya, kerana tiada gula tambahan yang mengganggu proses pembersihan.

Artikel terdahulu;

TAMMAT