05 January 2015

ALAM-ALAM INSAN DI ALAM DUNIA

Inilah hikayat insan juga manusia,
Baginya empat alam di Alam Dunia,
Kisah insan selain Adam, Hawa dan Isa,
Kucoret khusus untuk kalian-kalian semua.

Manusia bermula dengan Alam Mineral, iaitu ketika ia masih dalam bentuk nutrien yang dihadam oleh ibu dan bapanya. Nutrien itu membentuk benih-benih yang akhirnya tersemai di tanah rahim, lalu ia tumbuh sebagai janin. Dengan itu, bermulalah Alam Tumbuhan bagi manusia, hanya tumbuh tanpa gerak.

Kemudian, Alam Hayawan bagi manusia bermula apabila ia dilahirkan. Ia hanya tahu makan, minum, tangis dan gerak. Sifat-sifat itu tidak ubah seperti hayawan. Manusia mula memasuki Alam Manusia ketikamana ia mumayyiz, tahu membezakan antara baik dan buruk.

Setelah jasadnya sempurna, maka ia bersedia untuk menerima aqal yang mulia, iaitu ketika baligh mendatanginya. Dengan jadinya manusia itu sebagai manusia, maka layaklah ia menerima taklifan daripada Tuhan, amanah untuk mengimarahkan alam semesta, demi kelangsungan ibadah kepada Sang Pencipta.

TAMMAT

04 January 2015

SAKANJABIN - OXIMEL



Buku terjemahan karya Ibnu Sina yang berjudul
Risalah fi al-Sakanjabin


SAKANJABIN - OXIMEL
Oleh: Naseer Sobree


Dalam dunia perubatan, ada pelbagai sistem perawatan dengan pelbagai latar belakang. Kita mungkin sudah terbiasa dengan Perubatan Moden, Perubatan Tradisional Cina dan Perubatan Ayurveda. Sebenarnya ada satu lagi sistem perubatan yang jarang diketahui oleh umum, khususnya rakyat Malaysia. Sistem tersebut ialah sistem perubatan yang dimulakan oleh tamadun Yunani dan diteruskan oleh tamadun Arab. Sekarang ia dinamakan Perubatan Yunani (Unani Medicine) di samping beberapa nama lain seperti Perubatan Ibnu Sina. Perubatan Tradisional Melayu juga menggunakan sistem yang sama. Dalam sejarah perubatan, sistem ini sangat berjasa kerana ia menjadi dasar bagi Perubatan Moden.

Ibnu Sina melalui karya agungnya Al-Qānūn Fit Ṭibb menyatakan bahawa terdapat dua tujuan utama ilmu perubatan iaitu mengekalkan kesihatan dan menghilangkan penyakit. Apa yang unik dalam Perubatan Ibnu Sina ialah kedua-dua tujuan itu boleh dicapai melalui pengambilan satu ramuan istimewa yang kelihatan biasa namun sangat bermanfaat. Ramuan yang dimaksudkan ialah sakanjabin. 

PENGENALAN

Perkataan sakanjabin berasal daripada bahasa Parsi. Ia terdiri daripada dua perkataan iaitu sirkah yang bermaksud cuka dan angabin yang bermaksud madu. Kedua-dua perkataan ini digabungkan dan di’arabkan sehingga menjadi sakanjabin. Selain tamadun Parsi, tamadun Yunani juga dikaitkan dengan sakanjabin. Dalam bahasa Yunani, sakanjabin disebut sebagai oximel (oxymel). Oximel merupakan gabungan dua perkataan iaitu oxy yang bermaksud masam dan mel yang bermaksud manis. Perkataan oximel juga telah di‘arabkan dan disebut sebagai uksūmālī. Sebahagian penulisan mengesahkan bahawa ramuan sakanjabin yang terdiri daripada cuka dan madu ini dimulakan oleh tamadun Parsi terlebih dahulu, kemudian barulah tamadun Yunani.

Ramuan ini digunakan oleh tokoh-tokoh perubatan terdahulu untuk penjagaan kesihatan dan perawatan penyakit. Antara tokoh penting yang pernah menulis tentang sakanjabin ialah Hippocrates, Galen, Ar-Razi, Ibnu Sina dan Ibnun Nafis. 

KATEGORI SAKANJABIN

Sakanjabin secara umumnya boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu sakanjabin ringkas (simple oxymel) dan sakanjabin kompleks (complex oxymel). Sakanjabin ringkas ialah sakanjabin yang terdiri daripada gabungan bahan masam dan bahan manis sahaja, tiada campuran bahan lain. Sakanjabin ringkas dikenali sebagai sakanjabīn sāżij. Banyak bahan manis yang boleh digunakan, antaranya ialah madu dan gula. Begitulah juga dengan bahan masam, antara bahan masam yang boleh digunakan ialah cuka dan perahan limau. Sekiranya sakanjabin disediakan dengan menggunakan madu sebagai bahan manis, ia dinamakan sakanjabīn ‘asalī. Sekiranya bahan manis yang digunakan untuk menghasilkan sakanjabin ialah gula, ia dikenali sebagai sakanjabīn sukkarī.

Sakanjabin kompleks ialah sakanjabin yang terdiri daripada bahan masam dan bahan manis beserta bahan lain selain kedua-duanya. Antara tujuan utama sakanjabīn sāżij dicampurkan dengan bahan lain adalah untuk (1) meningkatkan keberkesanan bahan lain, (2) mengurangkan kesan sampingan bahan lain, (3) mewujudkan fungsi baru yang hanya terhasil melalui campuran sakanjabīn sāżij dengan bahan lain dan (4) memperelokkan rasa bahan lain yang kurang enak, sehingga bahan tersebut lebih sedap dan mudah dimakan. Antara contoh sakanjabin kompleks ialah sakanjabīn bużūrī, sakanjabīn ‘unṣulī, sakanjabīn safarjalī dan sakanjabīn afsūmālī. 

MEKANISME FUNGSI SAKANJABIN

Dalam sains moden seperti kimia, farmakologi dan farmakognosi, fungsi sakanjabin tidak dapat dikenal pasti sepenuhnya. Hal ini menyebabkan sakanjabin tidak digunakan secara meluas dalam pengubatan sepertimana ia digunakan oleh pakar-pakar perubatan Islam terdahulu. Perubatan Moden menggunakan sakanjabin untuk penyakit tertentu sahaja, khususnya penyakit batuk.

Perubatan Ibnu Sina berdiri dengan disiplinnya yang tersendiri sehingga mampu bertapak di pelbagai universiti di Eropah selama ratusan tahun, bahkan kitab Al-Qānūn Fit Ṭibb dikatakan sebagai kitab rujukan perubatan yang paling lama digunakan dalam sejarah. Dengan disiplin tersebut, pelbagai penjelasan mengenai mekanisme fungsi sakanjabin dinyatakan oleh Ibnu Sina, termasuklah juga tokoh-tokoh lain sama ada yang berbangsa arab atau bukan.

Mekanisme utama bagi sakanjabin ialah keseimbangan sifatnya, iaitu keseimbangan antara sifat sejuk dan panas. Menurut Ibnu Sina, cuka didominasi oleh sifat sejuk, manakala madu didominasi oleh sifat panas. Campuran dan sebatian antara cuka dan madu berdasarkan sukatan dan pengiraan yang tepat mewujudkan keseimbangan pada sakanjabin yang dihasilkan. Sifat panas yang ada pada madu menyebabkan ia mampu melakukan proses-proses yang bersifat katabolik seperti membuka saluran darah yang sempit dan tersumbat serta memecahkan molekul-molekul yang bersifat toksik. Namun, kepanasan madu yang sepatutnya meningkatkan haba tubuh dihalang oleh cuka yang bersifat sejuk. Dengan itu, proses untuk melancarkan perjalanan cecair di dalam tubuh dapat dilakukan tanpa memudaratkan organ-organ. 

KEBAIKAN SAKANJABIN

Sakanjabin secara umumnya bertujuan untuk melancarkan perjalanan cecair tubuh dengan cara membuka saluran yang tersumbat dan memecahkan bahan yang menghalang pergerakan cecair tubuh. Apabila perjalanan tersebut lancar, segala keperluan sel seperti oksigen dan nutrien dapat disampaikan dengan sempurna. Selain itu, kelancaran itu juga menyebabkan sisa-sisa sel seperti karbon dioksida dan sisa nutrien dapat dibuang dengan baik. Fungsi ini digunakan untuk penjagaan kesihatan secara umum untuk semua golongan.

Dalam kes demam, sakanjabin berfungsi meleraikan cecair tubuh yang rosak yang menyebabkan berlakunya demam. Begitulah juga dalam keadaan batuk, sakanjabin akan menguraikan kahak yang ada dalam salur pernafasan dan menolaknya keluar. Untuk pembersihan usus, sakanjabin akan membersihkan saluran penghadaman sekaligus membantu proses penyerapan nutrien dan proses penyingkiran patogen dalam usus.

Sakanjabin digunakan juga dalam beberapa kes kecemasan seperti keracunan, sawan (epilepsi) dan patukan ular. Sakanjabin jika disediakan dalam bentuk minuman dapat menghilangkan rasa dahaga secara efektif berbanding minuman lain. 

LANGKAH BERJAGA-JAGA

Walaupun sakanjabin pada asalnya ialah nutrien biasa iaitu cuka dan madu, beberapa langkah berjaga-jaga perlu diambil dan diperhatikan. Ini kerana sakanjabin merupakan bahan baru yang bukan lagi cuka dan madu, ia mempunyai fungsi farmakologi yang khusus seperti ubatan lain. Jadi pengambilan dan pengamalannya mestilah dalam bentuk yang sederhana dan tidak berlebih-lebihan. Apa sahaja bahan yang baik untuk tubuh, jika diambil secara berlebihan akan membahayakan tubuh sepertimana gula dan garam mineral.

Mereka yang menghadapi masalah usus yang krtitikal seperti luka dan buasir seeloknya tidak mengambil sakanjabin. Begitulah juga dengan mereka yang mengalami masalah kritikal pada buah pinggang, pundi kecing dan rahim. Sekiranya sakanjabin diambil secara berlebihan, ia berpotensi memudaratkan fungsi seksual dan sistem saraf. 

PENUTUP

Sakanjabin mempunyai potensi pengubatan yang sangat besar. Walaupun dunia moden hampir-hampir tidak lagi memandangnya, kajian ke atasnya perlu diteruskan. Dengan peralatan canggih dan teknologi moden yang ada sekarang, kajian yang dibuat terhadap sakanjabin pasti menghasilkan pelbagai maklumat baru mengenai fungsi sakanjabin.

Sekiranya sakanjabin mampu dibuktikan sebagai panasea (panacea), maka itu sudah cukup untuk menjadikannya sebagai ubatan utama di samping beberapa ubatan lain, kerana ubat yang terbaik ialah ubat yang paling banyak fungsi penyembuhannya dan paling sedikit kesan sampingannya. 



RUJUKAN

1. Al-Qānūn Fit Ṭibb, Ibnu Sīnā 
2. Ar-Risālah Fis Sakanjabīn, Ibnu Sīnā.
3. Al-Mūjaz Fit Ṭibb, Ibnun Nafīs.
4. Al-Ḥāwī Fit Ṭibb, Ar-Rāzī.
5. Al-Masā’il Fit Ṭibb, Ḥunayn bin Isḥāq.




Para peserta kelas Medikologi. Oximel keluaran Baytul Hikma dihasilkan melalui disiplin Medikologi, iaitu sebuah integrasi antara Perubatan Moden dan Perubatan Klasik secara harmoni dan eklektik.


Set Oximel Original keluaran eksklusif Baytul Hikma