Showing posts with label Psikoanatomi. Show all posts
Showing posts with label Psikoanatomi. Show all posts

29 March 2020

NOTA PSIKOANATOMI (Siri 2: Kritikan Terhadap Psikologi Klasik)





NOTA PSIKOANATOMI
Siri 2: Kritikan Terhadap Psikologi Klasik

Oleh: Naseer Sobree

• Psikologi moden tidaklah sama dengan psikologi klasik. Psikologi moden lebih bersifat empirikal, manakala psikologi klasik lebih bersifat rasional. Fokus utama kali ini ialah psikologi klasik.

• Antara kelemahan utama psikologi klasik ialah ketakseragaman klasifikasinya dalam dua bidang iaitu falsafah dan perubatan. Kedua-dua bidang itu mempunyai kaedah psikologi berbeza, namun ada persamaan.

• Nafs tabi'iyyah sama dengan quwwah nabatiyyah, yakni merujuk kepada sistem penghadaman, tumbesaran dan peranakan.

• Nafs hayawaniyyah tidak sama dengan quwwah hayawaniyyah. Nafs hayawaniyyah merujuk kepada sistem pencerapan, pengurusan (pengurusan maklumat) dan penggerakan. Manakala quwwah hayawaniyyah merujuk kepada sistem pernafasan, peredaran darah dan pentenagaan.

• Nafs insaniyyah tidak sama dengan quwwah nafsaniyyah. Nafs insaniyyah merujuk kepada tahap tinggi dalam sistem pengurusan maklumat. Manakala quwwah nafsaniyyah sama dengan nafs hayawaniyyah, yakni sistem pencerapan, pengurusan dan penggerakan.

• Ini bererti perbahasan mengenai sistem pernafasan, peredaran darah dan pentenagaan tiada langsung dalam psikologi klasik bahagian falsafah.

• Objek yang dikaji adalah sama, tapi hasilnya berbeza. Sepatutnya sistem psikologi diseragamkan, kerana ilmu mesti bersifat koherens dan konsisten.

• Selain itu, psikologi klasik tidak membezakan antara proses sedar (somatik) dan proses taksedar (autonomik).

• Namun ilmu psikologi klasik tetaplah penting kerana ia masih relevan untuk dijadikan rujukan utama dalam bidang ini.

• Yang terbaik adalah kita gabungkan psikologi klasik yang rasional dengan psikologi moden yang empirikal, serta dipandu oleh revelasi.

TAMMAT


NOTA PSIKOANATOMI (Siri 1: Pengenalan Dan Definisi Psikoanatomi)





NOTA PSIKOANATOMI
Siri 1: Pengenalan Dan Definisi Psikoanatomi

Oleh: Naseer Sobree

• Psikoanatomi ialah sebuah sistem psikologi yang disusun berdasarkan wahyu, akal dan deria.

• Secara khusus pula, psikoanatomi bermaksud kajian mengenai struktur metafizikal bagi seseorang manusia.

• Manusia secara umumnya terdiri daripada dua komponen iaitu:

1. Struktur fizikal
2. Struktur metafizikal

• Struktur fizikal manusia ialah struktur yang boleh dikesan dengan deria yang lima iaitu telinga, mata, hidung, lidah dan kulit.

• Perbincangan mengenai struktur fizikal manusia tidak termasuk dalam ilmu psikoanatomi kerana ia sudah dibahaskan dalam beberapa ilmu khususnya biokimia, histologi, anatomi dan fisiologi.

• Walau bagaimanapun, psikoanatomi sangat berkait rapat dengan ilmu-ilmu tersebut, bahkan seseorang itu wajib menguasai kesemua ilmu itu sebelum melangkah masuk ke alam psikoanatomi.

• Adapun struktur metafizikal manusia ialah struktur yang tidak boleh dikesan oleh lima deria tersebut.

• Struktur metafizikal manusia terdiri daripada dua jenis iaitu:

1. Roh
2. Mudabbir

• Roh ialah struktur metafizikal manusia yang mengawal organ-organ somatik iaitu:

1. Organ cerap sedar (pancaindera)
2. Organ urus sedar (otak somatik)
3. Organ gerak sedar (otot skeletal)

• Mudabbir pula ialah struktur metafizikal manusia yang mengawal organ-organ autonomik iaitu:

1. Organ cerap taksedar (deria autonomik)
2. Organ urus taksedar (otak autonomik)
3. Organ gerak taksedar (organ-organ autonomik selain deria autonomik dan otak autonomik)

TAMMAT


26 March 2020

Tiga Nafsu Manusia

NAFSU MANUSIA ADA TIGA. Ketiga-tiga nafsu ini mestilah seimbang, tidak boleh terkurang atau terlebih.

1. Yang pertama ialah nafsu akliah. Nafsu akliah sifatnya ingin tahu. Jika terkurang dinamakan ghabawah, contohnya mereka yang tiada rasa ingin tahu sehingga menyebabkan kebodohan dan kejahilan.

2. Jika terlebih dinamakan jarbazah, contohnya mereka yang ingin tahu tentang rupa bentuk Tuhan, jirim-Nya dan jisim-Nya, serta ayat-ayat mutashabihat, sehingga menyebabkan kekeliruan, pertelingkahan dan kekufuran.

3. Keseimbangan nafsu akliah dinamakan hikmah.

4. Yang kedua ialah nafsu ghadabiah. Nafsu ghadabiah sifatnya inginkan kedudukan, kekuasaan dan kemuliaan. Jika terkurang dinamakan jubun, contohnya mereka yang takut untuk mempertahankan diri sendiri sehingga menyebabkan penghinaan dan penganiayaan.

5. Jika terlebih dinamakan tahawur, contohnya mereka yang rakus merosakkan nyawa dan harta benda orang lain demi kuasa sehingga menyebabkan kezaliman dan kehancuran.

6. Keseimbangan nafsu ghadabiah dinamakan shaja'ah.

7. Yang ketiga ialah nafsu shahwaniah. Nafsu shahwaniah sifatnya inginkan makanan, minuman dan pasangan. Jika terkurang dinamakan khumud, contohnya mereka yang menolak semua jenis nikmat dan rezeki sehingga menyebabkan kemurungan dan kemusnahan diri.

8. Jika terlebih dinamakan fujur, contohnya mereka yang terlalu banyak makan dan melampau-lampau dalam urusan seksual sehingga menyebabkan kemaksiatan, ketamakan dan kegelojohan.

9. Keseimbangan nafsu shahwaniah dinamakan ‘iffah.

10. Adapun gabungan keseimbangan ketiga-tiga nafsu ini, yakni gabungan hikmah, shaja‘ah dan ‘iffah dinamakan adil (‘adālah).

TAMMAT