Showing posts with label Sains. Show all posts
Showing posts with label Sains. Show all posts

26 March 2020

Apa Itu Metabolisme




1. Metabolisme ialah proses-proses yang berlaku kepada sesuatu struktur, sama ada pembinaan struktur atau penghancuran struktur.

2. Metabolisme terbahagi kepada dua iaitu anabolisme dan katabolisme.

3. Anabolisme merujuk kepada pembinaan struktur, iaitu pencantuman beberapa struktur kecil menjadi satu struktur besar. Nama lainnya ialah 'generation' dan 'takwīn'. Proses yang bersifat sedemikian dinamakan anabolik. Manakala bahan yang terhasil daripada proses tersebut dinamakan anabolit.

4. Katabolisme merujuk kepada penghancuran struktur, iaitu pemisahan satu struktur besar menjadi beberapa struktur kecil. Nama lainnya ialah 'corruption' dan 'tafsīd'. Proses yang bersifat sedemikian dinamakan katabolik. Manakala bahan yang terhasil daripada proses tersebut dinamakan katabolit.

5. Dalam konteks kesihatan, kedua-dua proses ini mestilah seimbang. Sel, tisu dan organ yang sihat mestilah sentiasa dibina. Struktur yang patogenik seperti darah beku, lemak berlebihan dan kuman mestilah sentiasa dihancurkan.

6. Keseimbangan antara anabolisme dan katabolisme akan menghasilkan satu keadaan yang sempurna yang dinamakan homeostasis dan ekuilibrium.

7. Sama-samalah kita menjaga pemakanan dan gaya hidup kita agar keseimbangan metabolisme dapat dicapai, insha-Allah.

TAMMAT

22 March 2015

ADAKAH SAINS SESUATU YANG MUTLAK?

1. Sebahagian muslim yang mempelajari ilmu sains tanpa didahulukan dengan ilmu kefalsafahan seperti hikmah, teologi dan kalam, mudah tersalah dalam memahami hukum sains atau hukum alam.

2. Hakikat hukum-hukum sains ialah kesimpulan bagi fenomena alam yang berulang-ulang pada sampel kajian. Perulangan itu merupakan kebiasaan dalam pemerhatian dan ujikaji, kerana itulah ada pihak yang menamakannya hukum adat, iaitu hukum yang selalu berlaku, seperti adatnya insan.

3. Namun, pada hakikat ilmu, hukum-hukum sains bukanlah sesuatu yang mutlak, kerana untuk mendapat kepastian, keyakinan dan kemutlakan sesuatu hukum sains, hukum itu mestilah sentiasa berlaku pada setiap RUANG dan MASA (time and space).

4. Bagaimana dengan hipotesis, teori dan hukum yang ada dalam buku-buku dan jurnal-jurnal sains? Adakah ia terpakai pada setiap ruang dan masa?

5. Jawapannya tentulah tidak, kerana penemuan sains sedia ada hanya melibatkan sampel tertentu, pada ruang tertentu kerana tidak melibatkan tempat lain di seluruh alam semesta, pada masa tertentu kerana tidak melibatkan semua waktu iaitu masa lalu, masa kini dan masa depan. Jadi, setiap kenyataan sains seeloknya diikat dengan lafaz tertentu, contohnya, "Inilah hukum berdasarkan sampel ini, pada ruang ini, ketika masa ini."

6. Dengan konsep ini, jelaslah kepada kita kenapa ada kegagalan dalam sebahagian usaha manusia. Ada masalah pada kenderaan yang menyebabkan kemalangan, ada rawatan yang tidak sembuh-sembuh, ada ubat yang berkesan pada sesetengah pesakit dan tidak berkesan pada yang lain. Dari situlah kita belajar tentang kesilapan dan kejahilan kita, lalu kita perbaiki usaha kita setelah menemui teori dan fakta baru.

7. Apa tujuan tulisan ini? Adakah untuk melahirkan sikap skeptikal terhadap sains? Atau untuk mengajak para pembaca menolak sains?

8. Tentulah tidak sama sekali. Penulis hanya ingin membawa para pembaca kepada hakikat ilmu, agar tidak sombong dengan ilmu yang ada, agar tidak tertipu dengan ilmu yang secebis, dan yang paling penting ialah, agar kita sedar bahawa Allah itu Pemegang Mutlak bagi segala hukum, sama ada hukum adat, atau hukum akal, atau hukum sharak.

Fahamilah hakikat ini.