Showing posts with label Taṣawwuf. Show all posts
Showing posts with label Taṣawwuf. Show all posts

24 August 2023

RAJAH VENN FIRQAH MUSLIMIN

ADAKALANYA KITA MELIHAT firqah tertentu bermusuhan dengan firqah lain. Adakalanya ia bergabung dengan firqah tertentu untuk melawan firqah yang lain pula. Adakalanya ia bergabung dengan firqah musuh untuk melawan firqah yang pada awalnya menjadi rakannya.

Bagi sesetengah orang, hal ini mungkin pelik dan membingungkan. Tetapi jika kita fahami persamaan dan perbezaan sesama firqah itu, maka tiada lagi kehairanan. Ini kerana, perseteruan dan persekutuan itu berlaku pada aspek yang berbeza-beza.

Dalam kalangan kita, ada yang terikat dengan sesuatu firqah, ada yang menggabungkan dua firqah, bahkan ada yang berjaya menggabungkan kesemua firqah secara harmoni. Itu bergantung pada tahap ilmu, pengalaman dan kematangan masing-masing.

Rajah Venn (Venn diagram) berikut mungkin dapat membantu memahami apa yang diperkatakan ini. Wallahu a'lam.




26 March 2020

Tiga Nafsu Manusia

NAFSU MANUSIA ADA TIGA. Ketiga-tiga nafsu ini mestilah seimbang, tidak boleh terkurang atau terlebih.

1. Yang pertama ialah nafsu akliah. Nafsu akliah sifatnya ingin tahu. Jika terkurang dinamakan ghabawah, contohnya mereka yang tiada rasa ingin tahu sehingga menyebabkan kebodohan dan kejahilan.

2. Jika terlebih dinamakan jarbazah, contohnya mereka yang ingin tahu tentang rupa bentuk Tuhan, jirim-Nya dan jisim-Nya, serta ayat-ayat mutashabihat, sehingga menyebabkan kekeliruan, pertelingkahan dan kekufuran.

3. Keseimbangan nafsu akliah dinamakan hikmah.

4. Yang kedua ialah nafsu ghadabiah. Nafsu ghadabiah sifatnya inginkan kedudukan, kekuasaan dan kemuliaan. Jika terkurang dinamakan jubun, contohnya mereka yang takut untuk mempertahankan diri sendiri sehingga menyebabkan penghinaan dan penganiayaan.

5. Jika terlebih dinamakan tahawur, contohnya mereka yang rakus merosakkan nyawa dan harta benda orang lain demi kuasa sehingga menyebabkan kezaliman dan kehancuran.

6. Keseimbangan nafsu ghadabiah dinamakan shaja'ah.

7. Yang ketiga ialah nafsu shahwaniah. Nafsu shahwaniah sifatnya inginkan makanan, minuman dan pasangan. Jika terkurang dinamakan khumud, contohnya mereka yang menolak semua jenis nikmat dan rezeki sehingga menyebabkan kemurungan dan kemusnahan diri.

8. Jika terlebih dinamakan fujur, contohnya mereka yang terlalu banyak makan dan melampau-lampau dalam urusan seksual sehingga menyebabkan kemaksiatan, ketamakan dan kegelojohan.

9. Keseimbangan nafsu shahwaniah dinamakan ‘iffah.

10. Adapun gabungan keseimbangan ketiga-tiga nafsu ini, yakni gabungan hikmah, shaja‘ah dan ‘iffah dinamakan adil (‘adālah).

TAMMAT