Showing posts with label Manuskrip. Show all posts
Showing posts with label Manuskrip. Show all posts

10 May 2026

Pengenalan kajian "Kitāb al-Manṭiq Īsāghūjī" manuskrip Or. 7204a Leiden

 


Fātiḥah

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيمِ
الحَمْدُ لِلّٰهِ الَّذِي أَنْطَقَ النَّاطِقِينَ وَالصَّلَاةُ وَالسَّلَامُ عَلَى خَيْرِ النَّاطِقِينَ

Ilmu Mantik

Ilmu mantik ialah ilmu yang bertujuan untuk mengelakkan kesalahan dalam berfikir dengan cara memelihara dan menggunakan peraturan-peraturan berfikir yang telah digariskan. Dalam tradisi Islam, ilmu mantik dianggap sebagai ilmu alat yang mesti dikuasai sebelum mempelajari ilmu-ilmu lain.

Ilmu mantik mempunyai sejarah yang panjang dan telah mengalami pelbagai kritikan, perubahan dan penambahbaikan. Walaupun ilmu mantik klasik dan mantik moden sudah banyak berbeza, namun asasnya tetaplah sama, iaitu ia menggunakan kaedah-kaedah dasar dalam berfikir yang merupakan fitrah semula jadi bagi manusia.

Walaupun ilmu ini secara formalnya disusun oleh Aristotle, namun kaedah-kaedah berfikir itu sudah sedia wujud pada diri manusia sejak wujudnya manusia yang pertama, bukan Aristotle. Aristotle hanya memerhati dan merenung kaedah-kedah tersebut sedalam-dalamnya lalu disusun bersesuaian dengan zaman dan latar belakangnya ketika itu.

Kalamana ilmu mantik masuk ke dunia Islam, tokoh-tokoh ilmuwan Islam bertindak mengembangkannya, terutamanya al-Mu‘allim al-Ṡānī al-Fārābī dan al-Shaykh al-Ra’īs Ibn Sīnā.  Kemudian ilmu ini ditapis dan dimurnikan oleh tokoh-tokoh seperti al-Imām Ḥujjat al-Islām al-Ghazālī dan juga al-Imām Fakhr al-Dīn al-Rāzī.

Kemudiannya ilmu ini terus dikritik dan dikembangkan sehingga terhasil ilmu mantik moden yang ada pada hari ini. Kritikan dan penambahbaikan terhadap sesuatu bidang ilmu merupakan perkara biasa. Kritikan tersebut tidaklah meruntuhkan sesuatu bidang ilmu.

Secara umumnya, dalam setiap bidang ilmu, ada perkara-perkara dasar (uṣūl) yang stabil dan sukar berubah, dan ada juga perkara-perkara ranting (furū‘) yang dinamik dan mudah berubah. Hal yang sama turut berlaku dalam ilmu mantik, maka janganlah hanya kerana kritikan tertentu lantas kita terus menolaknya secara total. Hikmah itu perlulah sentiasa dikutip daripada sesiapa sahaja dan di mana-mana sahaja.

Suasana Ilmu Mantik di Malaysia

Berdasarkan perspektif peribadi, suasana ilmu mantik di Malaysia, terutamanya sekitar tahun 90-an sehingga 2010, didapati ia hanya dipelajari secara formal di institusi-institusi rasmi di peringkat universiti dan pra-universiti, dan biasanya melibatkan pengajian dalam bidang agama.

Adapun di peringkat pondok, ilmu ini sudah menjadi ilmu yang nadir. Kebanyakan pondok hanya fokus kepada ilmu bahasa Arab, tafsir, hadis, tauhid, fikah dan tasawuf. Tidak banyak pondok yang fokus ilmu-ilmu ‘aqlī (rasional) seperti ilmu manṭiq (logik) dan maqūlāt (kategori).

Setelah saya pulang ke Malaysia pada tahun 2013 selepas belajar di Universiti Al-Azhar, Mesir, suasananya boleh dikatakan masih sama. Saya mula berkongsi serba sedikit mengenai ilmu mantik di media sosial, hal ini menimbulkan minat dalam kalangan masyarakat terutamanya para penuntut ilmu. Beberapa pihak telah menjemput saya agar mengajar kelas ilmu mantik, contohnya di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) cawangan Petaling Jaya dan Kuantan, juga di Klasika Media yang kini dikenali sebagai Akademi Jawi Malaysia.

Matan Īsāghūjī yang asalnya merupakan nota untuk kelas-kelas tersebut, akhirnya disunting dengan baik dan diterjemah kesemuanya secara lengkap, lalu diterbitkan sebagai buku pada tahun 2015. Buku terjemahan itu mendapat sambutan yang amat menggalakkan dan sudah lama kehabisan stok. Awalnya saya merancang untuk mengulang cetak terjemahan tersebut, namun setelah saya menemukan manuskrip Or. 7204a pada tahun 2021 maka saya putuskan untuk mengkaji dan merumikan manuskrip tersebut supaya dapatlah ia memenuhi keperluan masyarakat yang berminat dengan ilmu mantik.

Setelah semua itu, ilmu mantik semakin subur, terutamanya selepas kepulangan beberapa agamawan dari Timur Tengah. Banyak program, kelas dan pengajian ilmu mantik dianjurkan di pelbagai tempat. Buku-buku berkaitan ilmu mantik juga mula dikaji dan diterbitkan. Ilmu mantik bukan lagi ilmu yang nadir di Malaysia.

Lumrah bagi sesuatu yang meningkat naik, pasti ada yang ingin menjatuhkannya. Kritikan dan kontroversi terhadap ilmu manṭiq, termasuk juga ilmu maqūlāt, mula kedengaran di beberapa medium. Golongan ini cuba mengembalikan polemik-polemik zaman purba kala, dan ada juga yang mempertembungkannya dengan mantik moden, falsafah moden dan sains moden. Golongan ini, seandainya mereka memahami hakikat dan prinsip ilmu mantik, falsafah dan sains, sama ada aliran klasik atau moden, nescaya mereka akan bahagia jika dapat mempelajari dan memahami kedua-dua aliran tersebut.

Manuskrip Ilmu Mantik

Terdapat beberapa dakwaan berkaitan kewujudan manuskrip ilmu mantik di alam Melayu, sama ada yang dalam bahasa Arab sepenuhnya atau turut melibatkan bahasa Melayu.

Manuskrip terawal yang disebutkan ialah manuskrip ‘Ilm al-Manṭiq dalam koleksi Wan Mohd Shaghir yang dipercayai ditulis pada tahun 1593 oleh al-Faqīh Wan Mūsā al-Faṭānī. Dikatakan bahawa di tepian teks utama yang dalam bahasa Arab itu (ḥāshiyah) terdapat catatan dalam bahasa Melayu, namun catatan Melayu  itu tidak dapat disahkan benar-benar ditulis pada tahun 1593, bahkan mungkin juga ditulis selepas itu.

Seterusnya ialah manuskrip Ms 781(2) dalam koleksi Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) yang dikatakan ditulis oleh Shaykh Nūr al-Dīn al-Rānīrī sekitar tahun 1620-1640. Antara persoalan yang timbul adalah mengenai kesahihan penisbahan karya itu kepada al-Rānīrī. Persoalan lain ialah kandungan manuskrip itu sendiri yang secara umumnya berkaitan pembuktian kewujudan Tuhan yang memuatkan sedikit pengenalan mengenai burhān sebagai asas perbahasan ketuhanan. Maka ia lebih sesuai dianggap sebagai teks teologi atau ilmu kalām.

Antara lain ialah penemuan manuskrip Ms_Or_14 dalam koleksi Perpustakaan Universiti Marburg yang dianggarkan bertarikh sebelum tahun 1750. Dikatakan bahawa penulis manuskrip itu mendakwa bahawa itulah karya mantik dan falsafah yang pertama dalam bahasa Melayu. Buat masa ini tidak banyak maklumat yang ada mengenai manuskrip tersebut, maka kajian mendalam mengenainya perlulah dijalankan untuk mengesahkannya.

Kemudiannya ialah manuskrip Or. 7204a dalam koleksi Perpustakaan Universiti Leiden, iaitu manuskrip yang dikaji dalam buku ini. Dalam manuskrip itu terdapat catatan bahawa ia selesai disalin pada 19 Zulhijjah 1280H bersamaan 26 Mei 1864, maka manuskrip asalnya itu mungkin bertarikh sedemikian atau lebih awal. Manuskrip ini secara jelas memang membahaskan matan ilmu mantik iaitu Īsāghūjī, bahkan mengandungi terjemahan Melayu bersamanya.

Manuskrip lain yang berkaitan ilmu mantik ialah Or. 16762 dalam koleksi Perpustakaan British. Manuskrip ini mengandungi beberapa judul berbeza, salah satunya ialah ilmu mantik yang ditulis dalam bahasa Arab tanpa terjemahan. Ia dianggarkan bertarikh sekitar abad ke-19.

Selain daripada yang telah disebutkan, masih ada beberapa manuskrip yang terdapat di beberapa pondok dan pesantren. Hanyasanya, pentarikhan bagi manuskrip-manuskrip tersebut memerlukan kajian yang lebih terperinci, kerana sebahagiannya adalah berdasarkan sumber lisan semata-mata.

Penemuan Manuskrip Or. 7204a

Manuskrip Or. 7204a koleksi Perpustakaan Universiti Leiden ini telah saya temukan pada tahun 2021 ketika sedang mencari manuskrip perubatan Melayu di laman web rasmi perpustakaan tersebut. Manuskrip ini telah dicatat dalam Handlist of Arabic Manuscripts in The Library of the University of Leiden and Other Collections in the Netherlands edisi kedua (1980) dan juga Inventory of the Oriental Manuscripts of the Library of the University of Leiden jilid kelapan (2019).

Manuskrip ini boleh dikatakan unik kerana belum ada penerbitan secara terbuka berkaitan manuskrip ilmu mantik dalam bahasa Melayu. Manuskrip ini bukanlah selitan unsur-unsur ilmu mantik dalam ilmu-ilmu lain, bahkan ia memang terjemahan bahasa Melayu bagi teks ilmu mantik yang formal dan sangat terkenal dalam dunia Islam iaitu matan Īsāghūjī karya Aṡīr al-Dīn al-Abharī.

Manuskrip ini telah saya sempurnakan perumiannya pada tahun 2022, namun disebabkan kesibukan dengan pelbagai komitmen terutamanya berkaitan urusan-urusan pendidikan dan klinikal, maka penerbitannya telah tertangguh. Pada awal tahun 2026 barulah saya berkesempatan membuat suntingan akhir sehingga ia sedia untuk diterbitkan.

Latar Belakang Manuskrip Or. 7204a

Manuskrip Or. 7204a dimiliki oleh Muḥammad Kelana bin Jaksa Mayur Faqīr ‘Abd al-Mujīb Muḥammad Zubaydī. Beliau merupakan seorang penyalin, pemilik dan individu yang membuat catatan pada beberapa buah manuskrip Melayu. Dalam manuskrip Or. 7343, Muḥammad Kelana membuat catatan bahawa beliau pada asalnya merupakan seorang tukang emas. Akibat daripada perselisihan faham dengan bapanya, beliau telah keluar belayar untuk berdagang. Pada pelayaran yang kedua, kapalnya telah dilanda badai ribut lalu beliau hanyut terdampar di Kampung Penyawakan yang terletak di Pulau Cangkir, Bintan.

Penyalin manuskrip ini ialah al-Ḥajj Muḥammad Najīḥ bin Imām Muḥammad Ṣāliḥūn yang dinyatakan sebagai penghulu Batavia, Indonesia. Namun penterjemah sebenar bagi teks Arab Īsāghūjī itu tidaklah dinyatakan secara jelas.

Manuskrip ini telah berpindah tangan dan menjadi milik Snouck Hurgronje, seorang orientalis terkenal. Kemudian, selepas kematiannya, manuskrip ini diserahkan kepada Perpustakaan Universiti Leiden.

Manuskrip ini mengandungi 28 folio bersamaan 56 muka surat. Folio 1 hingga 23 ialah bahagian pertama, manakala folio 24 hingga 28 ialah bahagian kedua. Bahagian pertama mengandungi teks Arab Īsāghūjī bersama terjemahan Melayu, manakala bahagian kedua mengandungi teks Arab dan terjemahan Melayu bagi kitab Fatḥ al-Qarīb al-Mujīb dan Ḥadīṡ Arba‘īn.

Kaedah Kajian Manuskrip Or. 7204a

Kajian manuskrip ini secara asasnya menggunakan kaedah filologi dan melibatkan transliterasi, edisi dan anotasi. Bahagian yang dikaji ialah bahagian pertama manuskrip ini iaitu teks Īsāghūjī dan terjemahannya.

Pada peringkat awalnya saya mempertimbangkan sama ada untuk kekalkan sepenuhnya segala kandungan manuskrip sepertimana adanya, ataupun lakukan suntingan minimal supaya sebarang kesilapan signifikan yang ada pada manuskrip dapat diperbetul. Akhirnya saya putuskan untuk lakukan suntingan, supaya kajian ini dapat digunakan sebagai teks pembacaan dan pengajian tanpa melibatkan kesilapan yang nyata yang boleh menjejaskan kefahaman mengenai ilmu mantik. Walau bagaimanapun, setiap suntingan itu dinyatakan secara jelas di bahagian nota kaki, maka para pembaca boleh mengetahui apakah teks asal yang tertulis pada manuskrip.

Suntingan manuskrip ini dibuat berdasarkan matan Īsāghūjī yang ada dalam syarahnya yang ditulis oleh Shaykh Zakariyyā al-Anṣārī iaitu kitab al-Maṭla‘. Secara umumnya, ada dua versi matan Īsāghūjī iaitu versi yang ada dalam al-Maṭla‘ seperti yang telah disebutkan, dan juga versi yang ada dalam al-Fawā’id al-Fanāriyyah iaitu syarah Īsāghūjī yang ditulis oleh al-‘Allāmah Shams al-Dīn al-Fanārī. Perbezaan yang paling ketara antara versi Maṭla‘ dan versi Fawā’id boleh dilihat pada bab qiyās. Matan Īsāghūjī yang ada dalam manuskrip Or. 7204a secara asasnya adalah berdasarkan versi Maṭla‘, maka dengan sebab itu suntingan ini menggunakan versi Maṭla‘ sebagai perbandingan dan rujukan utama, terutamanya untuk memperbetul sebarang kesilapan yang ada dalam manuskrip tersebut.

Wajar juga dinyatakan di sini bahawa kesilapan yang berlaku dalam manuskrip ini kebanyakannya adalah dalam bentuk kesilapan ejaan, kesilapan penambahan teks dan kesilapan pengurangan teks. Maksudnya, perbezaan teks manuskrip dan teks Maṭla‘ bukanlah melibatkan perbezaan pendapat yang perlu dikekalkan, bahkan kebanyakannya mengubah makna asal Īsāghūjī dan boleh membawa kepada salah faham. Lagipun, teks ini ialah matan yang ada asalnya yang perlu dirujuk, bukannya syarah yang boleh memuatkan perbezaan pendapat antara penulis syarah dan penulis matan.

Sebarang perubahan pada teks asal manuskrip dinyatakan secara jelas pada nota kaki. Sebarang penambahan yang memang diperlukan diletakkan dalam dua kurungan siku sebegini [ ]. Beberapa huraian yang bersesuaian juga diletakkan pada nota kaki.

Aṡīr al-Dīn al-Abharī

Aṡīr al-Dīn al-Mufaḍḍal bin ‘Umar al-Abharī wafat pada tahun 663H/1265M. Beliau merupakan seorang tokoh ilmuwan yang ulung. Terdapat perbezaan pandangan berkenaan tempat kelahirannya, sama ada di Mosul atau Samarqand. Beliau diketahui pernah menetap di Khurasan dan Baghdad, kemudiannya berpindah ke Arbela pada tahun 625H/1228M. Di kota Arbela ini, Ibn Khallikān telah mempelajari ilmu fikah daripadanya di madrasah Dār al-Hadīṡ.

Beliau merupakan murid kepada Kamāl al-Dīn ibn Yūnus al-Mawṣilī dan Fakhr al-Dīn al-Rāzī, serta menjadi guru kepada Najm al-Dīn al-Kātibī, penulis al-Risālah al-Shamsiyyah mengenai ilmu mantik. Dari sudut legasi, beliau memainkan peranan yang sangat penting dalam mengukuhkan kaedah penghujahan, falsafah dan teologi al-Rāzī.

Karya beliau yang paling masyhur dalam ilmu mantik ialah Īsāghūjī, yang juga dikenali sebagai al-Risālah al-Aṡīriyyah. Karya ini, bersama-sama kitabnya Hidāyat al-Ḥikmah, telah digunakan secara meluas dalam sistem pendidikan dari dunia Islam barat hingga ke benua kecil India. Selain itu, beliau turut menulis pelbagai karya lain seperti Ta‘līqah fī al-Khilāf, al-Zīj, Tanzīl al-Afkār dan Kashf al-Ḥaqā’iq.

Kitab Mantik Īsāghūjī

Īsāghūjī merupakan sebuah karya pengenalan ringkas yang amat penting dalam bidang ilmu mantik. Perkataan Īsāghūjī pada asalnya merujuk kepada terma Yunani yang bermaksud “pengenalan”.

Berbeza dengan Isagoge karya Porphyry yang hanya tertumpu kepada lima perkara sejagat (“lima bangsa sekalian”, five universals, al-kulliyyāt al-khams), matan Īsāghūjī karangan al-Abharī membincangkan kesemua bahagian ilmu mantik. Sebahagian pembaca masih keliru dan tidak dapat membezakan antara Isagoge karya Porphyry dengan Īsāghūjī karya al-Abharī, kedua-duanya merupakan dua kitab yang berbeza.

Karya ini telah menjadi teks asas dalam kurikulum pendidikan tradisional sejak abad ke-13, menjadikannya salah satu karya tertua yang terus digunakan secara berterusan di dunia Islam. Kepentingan risalah ini terbukti melalui banyaknya karya syarahan yang dihasilkan oleh para ilmuwan kemudiannya. Antara syarahan yang paling masyhur ialah al-Fawā’id al-Fanāriyyah karangan al-‘Allāmah Shams al-Dīn al-Fanārī dan al-Maṭla‘ Sharḥ Īsāghūjī oleh Shaykh Zakariyyā al-Anṣārī. Selain itu, ia turut digubah dalam bentuk nazam syair oleh al-‘Allāmah ‘Abd al-Raḥmān al-Akhḍarī melalui karyanya al-Sullam al-Munawraq fī al-Manṭiq.

Inilah serba sedikit yang dapat saya sebutkan mengenai ilmu mantik dan manuskrip ini. Selamat membaca.

 

Dr. Naseer Sobree

10 Mei 2026
Kedah

14 December 2025

Penemuan Baharu: Perubatan Cina dalam Tamadun Melayu

 



PENEMUAN BAHARU

Alhamdulillah, satu penemuan baharu dalam perubatan alam Melayu, iaitu kewujudan perubatan Cina secara eksplisit dan literal berjaya dibongkarkan daripada khazanah manuskrip kitab tib.

Selama ini saya hanya mendapati unsur perubatan Cina secara implisit dalam beberapa manuskrip. Namun kali ini sistem perubatan Cina terbukti secara nyata dan pasti.

Manuskrip ini selain membincangkan materia medika perubatan Cina, ia juga membahaskan prinsip perubatan Cina serta adab etika seorang tabib menurut perspektif Islam dan tauhid.

Walau bagaimanapun, sistem perubatan Cina ini tidak berasimilasi sepenuhnya dalam perubatan Melayu, tidak seperti perubatan Greek-Arab yang memang diterima sepenuhnya dan menjadi arus perdana (mainstream) dalam perubatan Melayu.

Akan diterbitkan, doakan.

01 October 2022

THE FIRST MALAY MANUSCRIPT ON LOGIC (MANTIQ) HAS BEEN FOUND?

A respected scholar mentioned that the first Malay manuscript on logic is the one by Nuruddin al-Raniri. I do not totally agree with that opinion due to unconfirmed attribution and the subject matter of the manuscript itself.


The manuscript is an appendix to a manuscript of Bustan al-Salatin. So far, there is no strong evidence that the appendix was written by al-Raniri. The subject matter of the appendix is “the proof of God’s existence” which contains several logical terms. Hence, the manuscript is actually on theology instead of logic.

I have transliterated a Malay manuscript which contains a complete text on classical formal logic. However, I do not claim that this is the first or oldest one since some scholars mentioned that there are several manuscripts on logic, but the details remain unclear.

Naseer Sobree
1 October 2022

For more information, you can join these Telegram channels;





MANUSKRIP MELAYU PERTAMA MENGENAI LOGIK SUDAH DITEMUI?

Seorang ilmuwan yang terhormat telah menyatakan bahawa manuskrip Melayu pertama mengenai logik ialah manuskrip yang ditulis oleh Nuruddin al-Raniri. Saya tidak sepenuhnya bersetuju dengan pendapat tersebut disebabkan oleh penisbahan yang tidak pasti dan topik perbincangan manuskrip itu sendiri.

Manuskrip itu merupakan satu lampiran bagi sebuah manuskrip Bustan al-Salatin. Setakat ini, tiada bukti yang kuat bahawa lampiran itu telah ditulis oleh al-Raniri. Topik perbincangan lampiran itu ialah “bukti kewujudan Tuhan” yang mengandungi beberapa istilah logik. Jadi, manuskrip itu sebenarnya adalah mengenai teologi, bukan logik.

Saya telah mengalihaksara sebuah manuskrip Melayu yang mengandungi sebuah teks lengkap mengenai logik formal klasik. Walau bagaimanapun, saya tidak mendakwa bahawa ini adalah yang pertama atau yang tertua memandangkan ada beberapa ilmuwan menyatakan bahawa terdapat beberapa manuskrip mengenai logik, tetapi perinciannya masih tidak jelas.

Naseer Sobree
1 Oktober 2022

Untuk maklumat lanjut, kalian boleh sertai “Telegram channel” yang berikut;






.

23 July 2015

PERUBATAN IBNU SINA






PERUBATAN IBNU SINA
Satu Pengenalan Ringkas


Oleh : Naseer Sobree


PENDAHULUAN

Perubatan Ibnu Sina merujuk kepada sebuah sistem perubatan yang berdasarkan pengajaran dan penulisan Ibnu Sina dalam bidang perubatan. Ibnu Sina dikenali juga dengan nama Latin beliau iaitu Avicenna.

Sistem perubatan yang dikemukakan oleh Ibnu Sina merupakan hasil kesinambungan dan penambahbaikan yang dilakukan oleh beliau terhadap sistem Perubatan Greek. Tokoh awal Perubatan Greek ialah Hippocrates dan Galen. Penulisan kedua-dua tokoh ini dikaji oleh para ilmuwan Islam setelah berlaku penterjemahan daripada Bahasa Greek kepada Bahasa Arab.

Walaupun terdapat ramai tokoh-tokoh Islam yang terlibat dalam bidang perubatan, Ibnu Sina tetap menjadi rujukan utama dalam sistem Perubatan Greek-Arab. Penulisan Ibnu Sina yang paling berpengaruh dalam bidang perubatan ialah Al-Qānūn fī al-Ṭibb yang dikenali di Barat sebagai The Canon of Medicine. Di peringkat antarabangsa, sistem ini lebih dikenali sebagai Perubatan Yunani (Unani Medicine).

Dua negara yang masih mengamalkan Perubatan Ibnu Sina secara meluas ialah India dan Pakistan. Namun tidak dapat dipastikan sejauh mana penggunaan Perubatan Ibnu Sina di sana, sama ada ia menjadi dasar ilmu perubatan yang disokong oleh Perubatan Moden, atau ia hanya sekadar sokongan bagi Perubatan Moden yang menjadi dasar.

Secara umumnya, ada dua tajuk besar dalam perubatan, iaitu;

1. Perubatan Teoretikal
2. Perubatan Praktikal

PERUBATAN TEORETIKAL

Perubatan Teoretikal membincangkan perkara-perkara yang bersifat teori seperti pengetahuan mengenai struktur tubuh, fungsi tubuh, jenis penyakit dan punca penyakit. Perubatan Teoretikal boleh dikelaskan dalam 4 tajuk iaitu;

1. Keadaan Sihat (Fisiologi)
2. Keadaan Sakit (Patologi)
3. Punca Keadaan (Etiologi)
4. Tanda Keadaan (Simptomatologi)

Keadaan Sihat

Keadaan Sihat merujuk kepada struktur dan fungsi tubuh yang normal. Ia dikenali juga dengan nama Perkara-Perkara Tabi’i (Umūr Ṭabī‘iyyah). Dalam Perubatan Ibnu Sina, tubuh yang sihat mempunyai 7 ciri yang utama iaitu;

1. Unsur (Arkān).
2. Sifat (Mizāj).
3. Humor (Akhlāṭ).
4. Organ (A‘ā’).
5. Roh (Arwāḥ).
6. Tenaga (Quwâ).
7. Fungsi (Af‘āl).

Unsur ialah struktur yang paling asas bagi manusia. Gabungan unsur menghasilkan pelbagai struktur lain. Terdapat 4 jenis unsur iaitu Api, Angin, Air dan Tanah.

Sifat ialah kualiti yang ada pada unsur dan gabungan unsur. Terdapat 4 sifat yang asas iaitu Panas, Sejuk, Kering dan Basah. Setiap unsur memiliki 2 sifat. Api bersifat Panas dan Kering, Angin bersifat Panas dan Basah, Air bersifat Sejuk dan Basah, Tanah bersifat Sejuk dan Kering.

Humor ialah cecair tubuh. Terdapat 4 jenis humor iaitu Dam (darah), Balgham (dahak), Ṣafrā’ (hempedu kuning) dan Sawdā’ (hempedu hitam). Dam mewakili unsur Angin serta bersifat Panas dan Basah. Balgham mewakili unsur Air serta bersifat Sejuk dan Basah. Ṣafrā’ mewakili unsur Api serta bersifat Panas dan Kering. Sawdā’ mewakili unsur Tanah serta bersifat Sejuk dan Kering.

Organ ialah struktur pejal yang terhasil daripada humor. Terdapat dua jenis organ iaitu organ tunggal (a‘ā’ mufradah) dan organ gabung (a‘ā’ murakkabah). Organ tunggal dalam Perubatan Ibnu Sina merujuk kepada ‘tisu’ dalam Perubatan Moden seperti lemak, tulang dan daging. Organ gabung pula menepati istilah organ dalam Perubatan Moden seperti jantung, hati, ginjal dan peparu.

Roh ialah sejenis gas halus yang memberikan keupayaan hidup kepada manusia. Jika dibandingkan dengan Perubatan Moden, roh boleh disamakan dengan gas oksigen.

Tenaga ialah keupayaan semula jadi yang mentadbir segala proses dalam tubuh. Terdapat 3 jenis tenaga iaitu Tenaga Tabi’i yang mengurus nutrien, tumbesaran dan keturunan, Tenaga Hayawani yang mengurus penghasilan tenaga, suhu badan dan pergerakan, Tenaga Nafsani yang mengawal segala proses Tabi’i dan Hayawani melalui proses sensori (input) dan motor (output).

Fungsi ialah segala proses yang berlaku dalam tubuh. Terdapat 2 jenis fungsi iaitu Fungsi Tunggal seperti penyerapan nutrien yang hanya melibatkan Tenaga Tabi’i sahaja, dan Fungsi Gabung seperti rasa lapar yang melibatkan Tenaga Tabi’i dan Tenaga Nafsani.

Keadaan Sakit

Keadaan Sakit merujuk kepada struktur dan fungsi tubuh yang tidak normal. Perbincangan utama bagi tajuk ini ialah jenis-jenis penyakit. Penyakit dibahagikan kepada dua iaitu penyakit struktur dan penyakit fungsi.

Penyakit struktur dibahagikan kepada 2 kategori iaitu Penyakit Struktur Tunggal dan Penyakit Struktur Gabung. Ada 3 jenis Penyakit Struktur Tunggal iaitu perubahan mizāj (sifat) struktur, perubahan kuantiti dan kualiti struktur, serta pemisahan struktur. Penyakit Struktur Gabung pula melibatkan gabungan Penyakit Struktur Tunggal seperti bengkak. Penyakit fungsi melibatkan perubahan fungsi tubuh sama ada secara kuantitatif atau kualitatif.

Punca Keadaan

Punca Keadaan ialah perkara-perkara yang boleh menyebabkan Keadaan Sihat dan Keadaan Sakit. Secara umum, perkara yang memberi kesan kepada kesihatan mungkin bersifat wajib, iaitu semua manusia tidak terlepas daripada menghadapinya, ia dinamakan Punca Daruri. Ada juga perkara yang memberi kesan kepada manusia, namun ia tidak bersifat wajib, ia dinamakan Punca Tidak Daruri. Jadi ada 2 jenis punca secara umum iaitu;

1. Punca Daruri
2. Punca Tidak Daruri

Punca Daruri merangkumi 6 perkara asasi yang wajib dihadapi oleh semua manusia iaitu;

1. Persekitaran
2. Makanan dan Minuman
3. Gerak dan Diam Jasmani
4. Gerak dan Diam Rohani
5. Tidur dan Jaga
6. Pengurungan dan Pengosongan

Persekitaran merujuk kepada tempat tinggal, jenis tanah, bentuk muka bumi, udara sekeliling, cuaca setempat, udara sekeliling dan pertukaran musim.

Makanan dan minuman merujuk kepada apa yang dimasukkan ke dalam mulut dan perut, sama ada pepejal atau cecair, nutrien atau ubatan.

Gerak dan diam jasmani merujuk kepada aktiviti luaran yang bersifat fizikal seperti berjalan, berlari, melompat, duduk, berbaring, meniarap dan terlentang.

Gerak dan diam rohani merujuk kepada aktiviti dalaman yang bersifat mental dan emosional seperti berfikir, berkhayal, marah, gembira, takut, sedih, suka dan benci.

Tidur dan jaga merujuk kepada kesedaran seseorang manusia, iaitu sama ada ia sedar dan dinamakan jaga ataupun ia tidak sedar dan dinamakan tidur. Keadaan tidak sedar merangkumi keadaan pengsan, koma dan pitam.

Pengurungan dan pengosongan merujuk kepada bahan-bahan dalam tubuh yang dibuang dari tubuh atau dibiarkan begitu sahaja. Antara proses pengosongan bahan dalam tubuh ialah pemuntahan melalui ubat pemuntah, pencaharan melalui ubat pencahar dan perdarahan melalui fasdu (faṣd/venesection), bekam atau torehan. Apabila proses pengosongan tidak dilakukan, bahan-bahan tersebut dianggap menghadapi proses pengurungan.

Adapun Punca Tidak Daruri, ia merujuk kepada perkara-perkara lain yang memberi kesan kepada tubuh selain daripada 6 Punca Daruri. Sebahagian Punca Tidak Daruri tidak bertentangan dengan tabi’at tubuh seperti berpakaian, bermusafir, mandi dan bersenam. Ada juga Punca Tidak Daruri yang bertentangan dengan tabi’at tubuh seperti letupan, kebakaran, luka, terpotong, pelanggaran dan terjatuh.

Tanda Keadaan

Tanda Keadaan ialah perkara-perkara yang boleh menunjukkan Keadaan Sihat dan Keadaan Sakit. Tanda Keadaan boleh dikesan melalui struktur tubuh atau fungsi tubuh.

Struktur tubuh yang sempurna dari segi warnanya, bentuknya, kedudukannya, bilangannya dan saiznya menunjukkan keadaan tubuh yang sihat. Manakala keadaan struktur tubuh yang tidak sempurna menunjukkan keadaan tubuh yang sakit.

Fungsi tubuh yang sempurna dari segi jenisnya dan kadarnya menunjukkan keadaan tubuh yang sihat. Manakala fungsi tubuh yang tidak sempurna menunjukkan keadaan tubuh yang sakit.

Dalam Perubatan Ibnu Sina, terdapat 4 kaedah utama untuk menilai keadaan tubuh iaitu dengan memerhati perkara-perkara berikut;

1. Mizāj
2. Nadi
3. Urin
4. Tinja

Pemerhatian mizāj boleh dilakukan dengan melihat beberapa aspek fizikal pada tubuh seperti kegemukan yang menunjukkan sifat basah, kekurusan yang menunjukkan sifat kering, kegelapan kulit yang menunjukkan sifat panas dan kecerahan kulit yang menunjukkan sifat sejuk.

Nadi juga boleh digunakan untuk mengetahui keadaan tubuh. Nadi yang cepat menunjukkan sifat panas, manakala nadi yang perlahan menunjukkan sifat sejuk. Nadi yang terasa penuh menunjukkan sifat basah, manakala nadi yang terasa kosong menunjukkan sifat kering. Pemerhatian nadi memerlukan sensitiviti yang tinggi, pengalaman yang banyak dan masa yang panjang.

Analisis urin dan tinja merupakan antara teknik diagnosis yang kompleks dalam Perubatan Ibnu Sina selain daripada analisis nadi.

Melalui urin dan tinja, seseorang perawat boleh mengetahui keadaan tubuh khususnya mengenai sistem penghadaman, sistem urinari dan ‘kematangan’ nutrien dalam tubuh. Warna yang gelap atau kemerahan menunjukkan sifat panas yang berlebihan, manakala warna yang cerah atau pucat menunjukkan sifat sejuk yang berlebihan.

PERUBATAN PRAKTIKAL

Perubatan Praktikal membincangkan aplikasi Perubatan Teoretikal demi mencapai dua matlamat ilmu perubatan, iaitu mengekalkan kesihatan dan menghilangkan penyakit. Jadi ada 2 tajuk utama bagi Perubatan Praktikal iaitu;

1. Penjagaan Kesihatan
2. Perawatan Penyakit

Penjagaan Kesihatan

Penjagaan kesihatan merupakan proses mengekalkan keadaan tubuh yang sihat supaya struktur dan fungsinya sentiasa normal. Penjagaan kesihatan menggunakan konsep persamaan, yakni keadaan tubuh dipastikan agar sentiasa sama pada setiap masa. Ringkasnya ia bersifat memelihara.

Penjagaan kesihatan boleh dicapai dengan menguruskan Punca Keadaan dengan baik, sama ada Punca Daruri seperti makanan, pergerakan dan perasaan, ataupun Punca Tidak Daruri seperti pakaian, permusafiran dan senaman.

Selain itu, terdapat penjagaan kesihatan yang bersifat khusus dengan merujuk kepada golongan tertentu seperti penjagaan bayi dan kanak-kanak (pediatrik) serta penjagaan orang tua (geriatrik).

Perawatan Penyakit

Perawatan penyakit merupakan proses mengembalikan keadaan tubuh yang tidak normal kepada keadaan tubuh yang normal semula. Perawatan penyakit menggunakan konsep pertentangan, yakni keadaan tubuh yang sakit itu dilawan dengan rawatan yang bertentangan dengan keadaan penyakit, supaya keadaan tubuh berubah kepada keadaannya yang asal. Ringkasnya ia bersifat memulihara.

Perbincangan perawatan penyakit melibatkan 3 perkara utama iaitu;

1. Jenis Rawatan
2. Teknik Rawatan
3. Krisis Penyakit

Terdapat 3 jenis rawatan yang digunakan dalam Perubatan Ibnu Sina iaitu;

1. Administrasi (tadbīr)
2. Medikasi (adwiyah)
3. Regimentasi (a‘māl al-yād)

Perawatan secara administrasi ialah perawatan dengan menguruskan Punca Keadaan. Contohnya ialah memperbetulkan cara makan, waktu makan, cara tidur, waktu tidur serta mengawal perasaan.

Perawatan secara medikasi ialah perawatan dengan menggunakan bahan-bahan yang bersifat ubatan seperti menggunakan herba dan akar kayu tertentu. Terdapat 3 jenis bahan ubatan yang utama iaitu mineral, tumbuhan dan haiwan.

Perawatan secara regimentasi ialah perawatan yang melibatkan penggunaan tangan, sama ada penggunaan tangan semata-mata seperti mengurut dan memperbetulkan sendi atau tulang yang mengalami dislokasi, ataupun penggunaan tangan beserta peralatan tertentu seperti pembekaman, pembedahan dan penyeterikaan (cauterization).

Perawatan penyakit dilakukan dengan menggunakan 3 teknik asas iaitu;

1. Pengurangan
2. Penambahan
3. Pembetulan

Dalam Perubatan Ibnu Sina, humor merupakan komponen penting yang menentukan keadaan tubuh, kerana semua organ dalam tubuh mendapat bahan-bahan daripada humor, jika humor adalah baik maka baiklah organ-organ lain lalu sihatlah seseorang itu. Keadaan humor yang sebaliknya menghasilkan keadaan tubuh yang sebaliknya.

Atas dasar itu, kebanyakan penyakit berlaku dengan sebab keadaan humor yang tidak baik. Jadi penyelesaian pertama yang dilakukan oleh perawat adalah dengan mengeluarkan humor-humor tertentu melalui teknik pengurangan. Teknik ini lebih dikenali sebagai pengosongan (istifrāgh), ia dilakukan secara medikasi atau regimentasi. Contoh pengosongan secara medikasi ialah penggunaan herba tertentu untuk merangsang proses pemuntahan dan pencaharan. Contoh pengosongan secara regimentasi ialah melakukan pembekaman dan perdarahan.

Ada penyakit yang berlaku kerana nutrien yang berlebihan, bukan kerana kerosakan humor. Dalam penyakit sebegini, pengurangan bermaksud mengurangkan pengambilan nutrien yang berlebihan tersebut.

Teknik penambahan pula merujuk kepada proses menambahkan bahan tertentu khususnya nutrien ke dalam tubuh, sama ada kerana sesuatu penyakit itu disebabkan oleh nutrien yang tidak cukup, ataupun untuk mengembalikan nutrien dan bahan yang telah hilang setelah proses pengurangan atau pengosongan dilakukan.

Teknik perawatan yang seterusnya ialah pembetulan. Pembetulan merupakan perawatan yang bersifat kualitatif, berbanding dengan pengurangan dan penambahan yang bersifat kuantitatif.

Teknik pembetulan digunakan untuk memperbaiki mizāj tubuh seseorang yang terkeluar daripada mizāj yang sepatutnya. Contohnya ialah penggunaan herba yang bersifat Panas untuk menjadikan tubuh seseorang itu Sejuk, ataupun sebaliknya. Teknik pembetulan juga digunakan untuk penyakit yang melibatkan organ seperti pembetulan sendi dan tulang.

Krisis Penyakit merupakan tanda-tanda yang menunjukkan perubahan penyakit sama ada semakin baik iaitu Krisis Positif (buḥrān jayyid), ataupun semakin buruk iaitu Krisis Negatif (buḥrān radī’).

TAMMAT