Showing posts with label Kalām. Show all posts
Showing posts with label Kalām. Show all posts

24 August 2023

RAJAH VENN FIRQAH MUSLIMIN

ADAKALANYA KITA MELIHAT firqah tertentu bermusuhan dengan firqah lain. Adakalanya ia bergabung dengan firqah tertentu untuk melawan firqah yang lain pula. Adakalanya ia bergabung dengan firqah musuh untuk melawan firqah yang pada awalnya menjadi rakannya.

Bagi sesetengah orang, hal ini mungkin pelik dan membingungkan. Tetapi jika kita fahami persamaan dan perbezaan sesama firqah itu, maka tiada lagi kehairanan. Ini kerana, perseteruan dan persekutuan itu berlaku pada aspek yang berbeza-beza.

Dalam kalangan kita, ada yang terikat dengan sesuatu firqah, ada yang menggabungkan dua firqah, bahkan ada yang berjaya menggabungkan kesemua firqah secara harmoni. Itu bergantung pada tahap ilmu, pengalaman dan kematangan masing-masing.

Rajah Venn (Venn diagram) berikut mungkin dapat membantu memahami apa yang diperkatakan ini. Wallahu a'lam.




26 March 2020

Perbakatan Dan Perbuatan (Bi al-Quwwah wa bi al-Fi‘l)




SUDAH AGAK LAMA saya tidak berbicara tentang ilmu Mantiq, Falsafah dan Kalam.

Hari ini ada yang bertanya kepada saya tentang satu isu setelah beliau membaca buku Matan Isaghuji yang saya terjemahkan.

Beliau meminta agar saya menjelaskan kepadanya mengenai konsep bi al-quwwah dan bi al-fi‘l.

Baiklah sahabatku sang pembaca, akan kujelaskannya kepadamu secara ringkas dan jelas, insha-Allah.

1. Setiap yang wujud, kecuali Allah, mungkin wujud secara bil-quwwah, dan mungkin juga wujud secara bi al-fi‘l. Saya terjemahkan bil-quwwah sebagai "secara perbakatan", manakala bi al-fi‘l diterjemahkan sebagai "secara perbuatan".

2. Sebagai contoh, Zaid mempunyai ilmu, tangan, pen dan kertas, maka sekarang dia mempunyai bakat, upaya, potensi dan kemampuan sebagai penulis. Ketika ini, Zaid dikatakan sebagai "seorang penulis secara perbakatan". Ini kerana dia ada bakat untuk menulis, tetapi masih belum menulis.

3. Apabila Zaid menggunakan ilmu, tangan, pen dan kertas yang ada untuk menulis, maka ketika itu Zaid dikatakan sebagai "seorang penulis secara perbuatan". Ini kerana dia sedang menzahirkan bakatnya itu secara realiti dan aktual.

4. Setelah ia selesai menulis, jika dia masih ada ilmu, tangan, pen dan kertas, maka Zaid kembali kepada keadaan "seorang penulis secara perbakatan".

5. Jadi, bi al-quwwah ialah keadaan di mana sesuatu itu tidak wujud secara realiti, tetapi ianya ada bakat dan potensi untuk berlaku. Bi al-fi‘l pula ialah keadaan di mana sesuatu yang pada asalnya hanyalah suatu bakat, kemudiannya ia wujud dan berlaku secara nyata.

6. Dua konsep ini diaplikasi dalam ilmu Kalam di bawah tajuk ta‘alluq. Kemampuan dan keupayaan Allah untuk mencipta merupakan sesuatu yang bi al-quwwah, ia dinamakan ta‘alluq ṣulūḥī qadīm. Setelah Allah berkehendak dan mencipta, maka ia menjadi sesuatu yang bi al-fi‘l, ia dinamakan ta‘alluq tanjīzī ḥādiṣ.

7. Dalam ilmu fizik pun ada kedua-dua konsep ini. Apabila sesuatu objek itu berbakat untuk berlakunya sesuatu pergerakan padanya, ia dinamakan Tenaga Potensial. Ketikamana objek itu sedang mengalami pergerakan tersebut, ia dinamakan Tenaga Kinetik.

TAMMAT