Showing posts with label Adab. Show all posts
Showing posts with label Adab. Show all posts

22 March 2015

KUIDITI ISLAM DAN AKSIDENNYA

1. Ketahuilah bahawasanya hakikat, mahiyyah, jauhar, intipati dan kuiditi Islam ialah mengesakan Allah (tauhid) serta menyerahkan diri kepada-Nya (taslim). Adapun perkara-perkara lain seperti kemanusiaan, keadilan dan kerahmatan, maka semua itu hanyalah 'arad dan aksiden Islam semata-mata.

2. Oleh itu, bukanlah sesuatu yang menghairankan jika adalakanya kita melihat wujud sifat ketakmanusiaan, ketakadilan dan ketakrahmatan dalam Islam, seperti mana yang berlaku dalam perintah perang dan hukum hudud.

3. Ini juga membezakan antara mukmin yang melakukan kebaikan atas dasar tauhid dan taslim, dengan mereka yang menjadikan kemanusiaan, maslahah dan lain-lain lagi idea yang relatif dan subjektif sebagai dasar dan asas perjuangan mereka.

4. Namun, pada hakikat yang lebih tinggi (haqiqatul haqiqah), sebenarnya Islam itu sentiasa bersifat humanistik, adil dan rahmah, cumanya akal dan deria yang ada itu terbatas untuk memahaminya. Jalan penyelesaiannya adalah dengan menerima revelasi secara mutlak, serta yakin ada maslahah di sebaliknya.

5. Dan perlu kita sedar bahawa wujud maslahah zahirah yang jelas pada deria dan akal, serta maslahah batinah yang samar pada deria dan akal. Dengan mengetahui dua jenis maslahah ini, terhindarlah kita daripada menolak sebahagian revelasi dengan alasan ia tidak humanistik, tidak adil dan tidak rahmah.

TAMMAT

ILMUWAN PENGHUKUM

1. Pada sesuatu zaman, dalam mana-mana bidang ilmu, pasti ada satu aliran yang menjadi dominan. Sama ada kerana aliran tersebut menjadi pegangan ramai, atau ia memegang kuasa, atau kedua-duanya sekali.

2. Aliran sebegitu dinamakan aliran arus perdana. Dan aliran sebegitu, pada kebiasaannya cenderung untuk menekan dan dan menghentikan aliran-aliran lain. Kecenderungan itu tiadalah salahnya jika ia ialah kebenaran.

3. Apa itu kebenaran? Kebenaran ialah sesuatu yang bertepatan dengan realiti.

4. Apabila aliran tersebut tidak benar, atau tidak mutlak benarnya, maka tidak boleh ia berkecenderungan seperti yang telah dinyatakan.

5. Hal ini biasanya terjadi dalam urusan keagamaan, di mana aliran arus perdana akan menekan aliran lain dengan pelbagai tuduhan seperti kufur, shirik, bid'ah, khurafat dan sesat, serta dengan pelbagai hukuman seperti denda dan penjara.

6. Masing-masing punyai hujjah dan dalil. Isu qat'i yang mereka sepakati diabaikan, isu zanni yang mereka selisihi dibesarkan. Hasilnya ialah permusuhan dan pergaduhan.

7. Hal yang sama turut berlaku dalam urusan perubatan. Sebahgaian pengamal aliran arus perdana sentiasa menekan aliran-aliran lain. Pelbagai tuduhan dilemparkan, seperti tidak diiktiraf, tidak saintifik, tiada bukti dan tiada kelulusan.

8. Sebenarnya masing-masing punyai bukti dan fakta. Jika dikatakan tiada bukti, perhatikanlah sudah berapa banyak kes yang sembuh dengan aliran lain. Jika dikatakan tidak saintifik, perhatikanlah berapa banyak ubatan aliran arus perdana yang tidak saintifik, yang masih tidak jelas cara kerjanya, atau dalam istilah farmakologi disebut sebagai ubatan yang tidak diketahui Mekanisma Tindakan (unknown Mechanism of Action, MOA).

9. Ubatan yang tidak jelas MOA itu tetap digunakan kerana hasil kerjanya yang jelas dan pasti. Hal yang sama turut berlaku pada ubatan aliran lain. Jadi, apa isu yang sebenarnya. Agak sukar untuk sesuatu aliran memberikan pengiktirafan dan kelulusan kepada aliran-aliran lain, jika itu yang dipinta.

10. Perkara usul dan qat'i dalam perubatan ialah, usaha untuk mengekalkan kesihatan dan menghilangkan kesakitan. Adapun perkara furu' dan zanni dalam perubatan ialah, cara untuk mencapai perkara usul dan qat'i itu.

11. Kesimpulannya, bersikap adil dan terbukalah dalam menilai sesuatu aliran, khususnya apabila masing-masing ada hujah tersendiri yang kuat. Bahkan, adakalanya sesuatu aliran itu terhasil daripada aliran lain yang lebih awal daripadanya. Bukakan minda, luaskan jiwa.

"INTEGRATIF & EKLEKTIK"