10 January 2026

Apa yang dipelajari dalam "Diploma Perubatan Tradisional Melayu"?

Ramai yang bertanya mengenai subjek dan silibus program Diploma Perubatan Melayu Tradisional (MQA).

Maka di sini saya lampirkan subjek-subjek yang telah ditetapkan oleh pihak MQA, merangkumi subjek-subjek Perubatan Moden, Perubatan Melayu, kaedah penyelidikan saintifik dan latihan klinikal.

Projek mewujudkan diploma ini telah bermula sejak 10 tahun lalu, diketuai oleh Almarhum Dr. Harun Mat Piah.

Pada awalnya projek ini berjalan lancar dan dibuktikan dengan tamatnya pengajian diploma ini versi awal iaitu Diploma Profesional Perubatan Melayu (DPPM, bukan MQA) pada tahun 2017.

Kemudian, projek membangunkan Diploma Perubatan Tradisional Melayu (DPTM) versi MQA diteruskan. Ketika inilah konflik dan krisis dalaman mula berlaku. Keadaan bertambah buruk setelah kewafatan Almarhum Dr. Harun Mat Piah pada tahun 2019.

Keadaan tersebut membuatkan sebahagian ahli kumpulan pembangun diploma ini tersingkir keluar, termasuk saya sendiri. Bahkan saya sendiri pernah menerima surat tindakan undang-undang dalam fasa ini.

Krisis ini berakhir dengan terhentinya projek ini yang ketika itu sudah menerima akreditasi sementara daripada MQA.

Pada tahun 2022 projek ini disambung semula, namun ia melibatkan pihak yang tidak pernah terlibat dalam projek ini sejak awal.

Hal itu menyebabkan perjalanan diploma ini tidak lancar, bahkan pengisian bagi sesetengah subjek, terutamanya subjek-subjek Perubatan Melayu, menjadi bercampur aduk dengan unsur-unsur pseudosains dan unsur-unsur luaran yang tiada kaitan dengan Perubatan Melayu.

Ketika itu, pelaksanaan diploma ini hampir terhenti sekali lagi kerana ketiadaan pensyarah untuk subjek-subjek dasar dan fundamental dalam Perubatan Melayu.

Maka pada tahun 2023, wakil dari Kolej SPACE menghubungi saya supaya menjadi pensyarah, dan pada tahun 2024 saya dilantik sebagai ketua program untuk menguruskan diploma ini sehingga tamat pengajian pelajar generasi pertama.

Ketika ini banyak usaha pemurnian silibus dilakukan supaya bertepatan dengan kehendak MQA dan bersesuaian dengan ilmu Perubatan Melayu yang autentik.

Akhirnya pada penghujung 2025 pihak MQA datang ke Kolej SPACE untuk membuat penilaian akhir sebelum diploma ini diberikan akreditasi penuh, iaitu pada Januari 2026.

Maka dengan itu, saya berharap pelaksanaan diploma ini selepas ini dilakukan dengan sangat berhati-hati dan teliti, terutamanya dari sudut keaslian dan kemurnian Perubatan Melayu.

Buat masa ini belum ada jaminan kualiti pelaksanaannya, maka saya masih menunggu dan melihat bagaimana pelaksanaannya selepas ini. Jika kesemua aspek dipatuhi, maka saya akan mewar-warkannya kepada semua. Jika tidak, maka tidak.

Semoga kejayaan ini menjadi titik mula bagi pembangunan dan perkembangan Perubatan Melayu yang ilmiah, autentik, saintifik, profesional dan berwibawa. Projek ini perlu dibangunkan juga di institusi-institusi lain yang berkemampuan dan berkelayakan.

Perubatan lain contohnya Perubatan Cina dan Perubatan Ayurveda sudah mencapai tahap ijazah sarjana muda (Bachelor), ijazah sarjana (Master) dan ijazah doktor falsafah (PhD). Perubatan Melayu juga akan sampai ke tahap itu, inshaAllah.

Dr. Naseer Sobree
10 Januari 2026

TAMMAT










09 January 2026

Akreditasi Penuh MQA untuk Diploma Perubatan Tradisional Melayu

ALHAMDULILLAH, dengan ini diumumkan bahawa Diploma Perubatan Tradisional Melayu yang dilaksanakan di Kolej Space UTM Kuala Lumpur telah menerima akreditasi penuh daripada pihak Malaysian Qualifications Agency (MQA).

Diploma ini telah diusahakan sejak 10 tahun lalu bersama Almarhum Dr. Harun Mat Piah serta sekumpulan penyelidik dan pengamal Perubatan Melayu.

Kelulusan akreditasi penuh ini menjadikannya program Perubatan Melayu berstruktur dan diiktiraf yang pertama di Malaysia, bahkan yang pertama di dunia.

Walaupun program ini menghadapi banyak cabaran dan hampir terhenti di tengah jalan, ia berjaya diselamatkan. Pada saat-saat akhir, saya bersama beberapa rakan berjaya memurnikan program ini daripada unsur-unsur pseudosains dan unsur-unsur luaran yang tiada kaitan dengan Perubatan Melayu.

Diharapkan pelaksanaan serta pengambilan pelajar dan pensyarah selepas ini adalah berdasarkan sistem Perubatan Melayu yang sebenar, supaya keaslian sistem ini terjamin dan terpelihara.

Buat masa ini belum ada jaminan kualiti pelaksanaannya, terutamanya dari sudut silibus. Sekiranya program Diploma Perubatan Tradisional Melayu ini dilaksanakan mengikut silibus dan standard yang benar, maka saya akan war-warkannya kepada mereka yang berminat.

Tahniah diucapkan kepada generasi pertama diploma ini yang akan bergraduasi tidak lama lagi. Terima kasih kepada semua yang terlibat dan membantu dalam menjayakan program ini.

Dr. Naseer Sobree
9 Januari 2026

TAMMAT