02 March 2016

BEKAM BANYAK ATAU SEDIKIT?





Dalam PERSINA (Perubatan Ibnu Sina), salah satu punca penyakit ialah humor (cecair tubuh) yang tidak seimbang dari sudut kuantiti atau kualiti atau kuantiliti. Ada empat jenis humor iaitu Dam (darah), Balgham (dahak), Safrak (hempedu kuning) dan Saudak (hempedu hitam).

Jika puncanya ialah Balgham atau Safrak atau Saudak, maka ia dirawat dengan ubatan tertentu.

Jika puncanya ialah Dam, maka ia dirawat dengan cara mengeluarkan Dam, iaitu sama ada menggunakan kaedah hijamah atau fasdu.

Apabila hijamah atau fasdu dilakukan untuk membuang Dam yang rosak kualitinya atau yang berlebihan kuantitinya, maka pengeluaran Dam mestilah banyak dan bersesuaian dengan kadar ketidakseimbangan Dam itu.

Jadi, dalam kes yang perlukan pengeluaran Dam, tidak timbul isu bekam banyak atau sedikit, kerana apa yang penting ialah pengeluaran Dam menurut kadar yang diperlukan dengan melihat kemampuan pesakit dalam menghadapi pengeluaran Dam.

Hanya baru-baru ini saja sebahagian dari kita terpengaruh dengan idea bahawa "bekam tidak boleh banyak cawan" dan "bekam bukan untuk buang darah".

Saya tidak salahkan mereka yang berpegang dengan idea tersebut, cuma ingin mengingatkan bahawa pengeluaran Dam yang banyak juga mempunyai rujukan yang diamalkan sejak ribu-ribuan tahun dahulu.

Apa yang paling penting ialah, proses pengeluaran atau pengosongan yang dikenali dalam PERSINA sebagai "istifragh", bukanlah menekankan sedikit atau banyaknya Dam yang dikeluarkan, tetapi ia mestilah mengikut keperluan penyakit yang dihadapi. Jika penyakit itu perlukan pengeluaran Dam yang banyak, maka banyaklah Dam yang mesti dikeluarkan. Jika sebaliknya, maka sebaliknya.

Bukakan Minda, Lapangkan Jiwa
ILMU ALLAH MAHA LUAS