14 September 2026

Ulasan Buku "Dialog Existologi"

 



ULASAN BUKU SIRI: 51
[PERMASA BOOK CLUB]
Ulasan Oleh: Muhammad Adam Daniel Bin Harold Nizam @ Redzam
Ijazah Sarjana Muda Hadith dengan Kepujian
Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ)

 

Judul Buku: Dialog Existologi
Penulis: Dr. Naseer Sobree
Penerbitan: Baytul Hikma
Tahun Penerbitan: 2015
Jumlah Halaman: 153

 

Ulasan kali ini sememangnya berbeza daripada ulasan-ulasan yang lampau. Mengapa dan bagaimana? Ulasan buku yang ingin dikongsikan pada kali ini adalah seputar agama, perubatan dan falsafah. Ranah yang terakhir itulah yang barangkali akan menjadi tumpuan kita semua memandangkan falsafah sering dikira unsur 'asing' daripada tradisi (keilmuan) Islam, lebih-lebih lagi ia juga dipandang "bid'ah" oleh sebilangan Kaum Muslimin.

 

Akan tetapi, andai diberikan pendedahan yang sewajarnya, pegangan erat terhadap al-Quran dan Sunnah tidak semestinya akan pudar oleh sebab falsafah. Malah, falsafah akan dapat, secara matang, difahami dan ditanggapi sebagaimana ilmu-ilmu lain seperti sejarah, sosiologi, psikologi, ekonomi, politik dan lain-lain ranah kehidupan yang dikaji insan. Hal ini kerana di dalam bidang falsafah itu sendiri wujud mazhab-mazhab yang rencam lagi unik. Tidak kurang juga mazhab-mazhab yang sememangnya janggal di telinga untuk direnungkan apatah lagi diperbahaskan. Setiap mazhab mewakili falsafah mereka tersendiri. Satu contoh yang pengulas boleh kemukakan sebagai perbandingan adalah tokoh Psikoanalisis Sigmund Freud di dalam bidang Psikologi. Beliau tidak mewakili Psikologi itu sendiri sebagai satu ilmu lengkap. Malahan, Freud dengan teori "seks sebagai pemangkin bawah sedar tindakan-tindakan manusia"nya tidak kurang dikritik termasuk oleh Psikologis Muslim, al-Marhum Malik Badri (silakan baca ‘The Dilemma of Muslim Psychologists’). Aristotle, Plato dan Sokrates bukan "satu-satunya" Filsuf yang pernah berfikir! Sikap "pukul sama rata" tidak akan sama sekali berjaya menghapuskan kesesatan di atas muka bumi ini. "Taklid dalam menolak sesuatu perkara" pun taklid jua! Barang diingat, dengan merenungkan Sunnatullah berbentuk sebab-akibat, kesesatan adalah hasil diri yang tidak dapat membezakan yang hak dan batil. Andai air di dalam sebuah kolam mandi (mudah alih) bayi itu sudah lama dan perlu ditukar, apakah kita akan melimpahkan keluar air itu bersama-sama bayi yang tidak bersalah? Jelasnya, tidak salah sama sekali untuk dikatakan bahawa pada setiap ilmu yang kita selami, harus disertakan dengan rasa berhati-hati (bukan sombong) dalam mengkaji.

 

Existologi merupakan istilah pengarang bagi falsafah (dengan makna kajian tentang wujud). Antara asas yang menjadi tunjang falsafah beliau adalah tiga sumber pengetahuan iaitu al-Hiss, al-'Aql, al-Wahy. Di samping itu, beliau menyajikan beberapa perincian sekitar falsafah yang meliputi pendekatan pengarang dalam menanggapi pandangan (menggali seraya mengumpul maklumat dari sumber pelbagai iaitu penilaian dilakukan lewat piawaian sumber ilmu/epistemologi yang jitu; integratif dan elektif / tajmi' dan takhyir, berpandukan ayat 18 Surah az-Zumar), kedudukan kashaf sebagai sumber ilmu menurut Existologi, kritikan beliau terhadap penyalahgunaan istilah "logik/tidak logik" oleh sebilangan orang awam (beliau menjelaskan adanya perbezaan di antara konsep logik dan rasional), kritikan beliau terhadap pengagungan melampau terhadap sains sebagai satu-satunya yang mutlak sedang kajian atau eksperimentasi adalah berdasarkan kondisi yang relatif (dalam bahasa yang mudah, sampel kajian yang dikawal dalam masa serta ruang yang tertentu atau ditentukan), kepentingan mantiq termasuk dalam pengajian bidang perubatan dan lain-lain.

 

Kupasan falsafi beliau banyak membantu pengulas dalam mengulangkaji apa yang telah beliau ajarkan ketika beliau mensyarahkan Mabadi' al-Falsafah karya Syeikh Sa’eed Ahmad al-Balanburi pada satu ketika dahulu. Selain itu, tidak sedikit perbahasan yang dikupas oleh pengarang yang berjaya menggambarkan betapa praktikalnya falsafah dalam memandang kehidupan (malah, sebenarnya, aspek praktikal/amali dalam falsafah itu disebut al-Hikmah al-'Amaliyyah, barangkali ramai lari daripada falsafah kerana terlalu "gerun" terhadap teori yang kelihatan kompleks pada mulanya tanpa cuba meninjau sisi-sisinya yang amali jua). Hal yang kerap "buat sesetengah pihak geram" terhadap falsafah adalah sebahagian teori yang dikemukakan oleh sebilangan ahli falsafah yang ditanggapi bercanggah dengan wahyu. Tiada siapa menghalang kita untuk bersikap kritis mengenai hal tersebut tetapi bak kata pepatah, buang yang keruh, ambil yang jernih.

 

Kadangkala, kupasan yang disajikan adalah berbentuk teks ringkas bertujuan sebagai pengantar bagi sesuatu perbahasan. Pada kesempatan lain, pengarang membawa dialog ke dalam perbincangan. Tindakan tersebut mengingatkan saya terhadap usaha rekod oleh anak murid (Plato) pengajaran si guru (Sokrates) yang berupa dialog antara watak. Tidak dapat dinafikan, dialog-dialog yang termuat di dalam catatan pengarang menggambarkan luasnya pergaulan pengarang. Tidak menghairankan juga kalau dikatakan bahawa selain membaca dan berguru (talaqqi), berdialog atau “sembang berisi” juga boleh dijadikan jalan dalam menuntut, menambah sembari memperkemaskan pengetahuan. Ada kalanya, pengarang menampilkan buah fikirannya dalam bentuk aforisme (ungkapan ringkas-serba-bermakna). Terkadang, pengarang menyertakan rajah sebagai pemudah kefahaman. Rencam struktur pada lontaran buah fikiran ini tidak membuatkan pembaca cepat merasa bosan. Malahan, ketidaksinambungan antara bab-bab memberikan kebebasan kepada pembaca untuk ulang-rujuk mana-mana bahagian yang menjadi minatnya.

 

Seperti yang sudah disebutkan sebelum ini, pengarang tidak hanya fokus pada ranah falsafah semata-mata. Bahkan, pengarang menyumbang buah fikirannya seputar agama dan perubatan. Dalam perbahasan agama, beliau mempunyai kritikan yang tersendiri, antaranya, terhadap ketaksuban segelintir kepada unsur-unsur yang dikatakan mewakili "humanisme" di dalam Islam, begitu juga terhadap perangai kurang baik sebahagian agamawan di samping mensyarah konsep wasatiyah di sisi beliau. Adapun, dalam perbahasan perubatan, beliau membahaskan serba sedikit berkenaan Perubatan Ibnu Sina (Persina) yang menyentuh perubatan dari sudut teori dan dari sudut praktikal. Selain itu, beliau menjelaskan tidak semua simptom itu negatif (kerana "simptom yang positif" harus dikawal, bukan dihalang, memandangkan ia adalah satu proses penyingkiran racun/ bahan patogenik dari tubuh). Di samping itu, beliau mencatat lantas memberi pendedahan kepada para pembaca akan ramuan yang disebut Sakanjabin/Oximel, fungsinya serta langkah berjaga-jaga dalam memanfaatkannya. Jujur kata, pengulas belum dapat menguasai lagi (baca: masih belum "membiasakan" diri terhadap) semua yang dicatat oleh pengarang dalam soal perubatan ini. Ikhtisas bidang tidak menjadi penghalang sebenarnya. Lihatlah budaya “silang-bidang (polymathy)” yang ditampilkan oleh susuk seperti Ibnu Sina, al-Kindi serta mereka yang seangkatan. Bahkan, pengulas menjadi bersemangat untuk mempelajarinya oleh sebab gaya kupasan pengarang yang tidak mengecewakan dalam merangsang sikap inkuiri.

 

Sebagai intiha, usah kita terlalu "berlakon ada alahan (alergik)" terhadap "ilmu yang tercemar" dek beberapa individu yang memiliki pemikiran tersendiri. “Beralah-lah sedikit” untuk mengambil tahu. Persoalan yang harus kita tanyakan, apakah ada usaha sendiri dalam mengekstrak madu dengan selamat supaya tidak disengat lebah yang mengelilinginya? Malahan, apakah kita harus bermusuhan dengan lebah tersebut andai kita sendiri tidak semena-mena bersikap bermusuhan (hostile) terhadapnya pada awalnya?