14 May 2015

ASAS PERUBATAN GREEK-ARAB-MELAYU ( SIRI 1)

Oleh : Naseer Sobree

1. Kali ini saya akan membentangkan kepada para pembaca sekalian mengenai asas-asas Perubatan Greek-Arab-Melayu (PEGAM), iaitu sebuah sistem perubatan yang secara rasminya telah diasaskan oleh tokoh-tokoh Greek (Yunani), kemudian dikembangkan oleh tokoh-tokoh berbangsa Arab atau berbahasa Arab, kemudian sistem yang sama juga digunakan oleh rumpun Melayu pada suatu masa dahulu. Sistem ini dipelajari di Eropah dan dikaji sehingga berkembang menjadi Perubatan Moden atau Perubatan Konvensional atau Perubatan Alopati atau Perubatan Barat.

2. Secara keseluruhan, perbincangan dalam PEGAM terbahagi kepada 3 bahagian iaitu; Perubatan Umum, Perubatan Khusus dan Bahan Perubatan. Perubatan Umum ialah perbincangan yang berkait dengan prinsip-prinsip perubatan secara menyeluruh tanpa dikaitkan dengan organ tertentu secara khusus. Perubatan Khusus pula ialah perbincangan yang berkait dengan organ-organ tertentu secara khusus. Manakala Bahan Perubatan membincangkan bahan-bahan yang digunakan dalam PEGAM.

3. Untuk asas-asas PEGAM, saya akan menyatakan mengenai Perubatan Umum sahaja. Perubatan Umum terbahagi kepada dua iaitu; Perubatan Teoretikal dan Perubatan Praktikal. Perubatan Teoretikal membincangkan konsep-konsep yang terlibat dalam perubatan. Perubatan Praktikal pula membincangkan aplikasi-aplikasi perubatan yang dimanipulasi daripada konsep-konsep perubatan, demi mencapai dua tujuan utama ilmu perubatan iaitu; mengekalkan kesihatan dan menghilangkan kesakitan.

4. Secara asasnya, bidang perubatan melibatkan manusia, sama ada rohaninya iaitu ruh, atau jasmaninya iaitu jasad. Manusia boleh berada dalam dua keadaan iaitu; sihat dan sakit. Kedua-dua keadaan itu ada puncanya, contohnya nutrien yang cukup menjadi punca sihat, manakala nutrien yang terlebih atau terkurang menjadi punca sakit. Kedua-dua keadaan itu juga ada tandanya, contohnya fungsi organ yang sempurna sebagai tanda sihat, dan fungsi organ yang terlebih atau terkurang sebagai tanda sakit. Namun ada juga keadaan sederhana antara sihat dan sakit, keadaan sederhana ini akan saya huraikan pada perenggan akan datang, inshaAllah.

5. Berdasarkan perenggan ke-4 dapatlah kita ketahui tajuk-tajuk yang dibincangkan dalam Perubatan Teoretikal, iaitu 4 tajuk konseptual seperti berikut; Keadaan Sihat, Keadaan Sakit, Punca Keadaan dan Tanda Keadaan. Kita juga dapat mengetahui perbincangan Perubatan Praktikal iaitu cara-cara untuk menghadapi dua keadaan manusia, melalui 2 tajuk aplikatif seperti berikut; Penjagaan Kesihatan untuk menghadapi Keadaan Sihat dan Perawatan Penyakit untuk menghadapi Keadaan Sakit.

Bersambung, inshaAllah...