08 June 2015

ASAS PERUBATAN GREEK-ARAB-MELAYU ( SIRI 2 )

Oleh : Naseer Sobree

6. Sekarang kita akan melihat perbahasan ringkas bagi setiap cabang PEGAM yang dinyatakan dalam perenggan ke-5. Cabang pertama iaitu mengenai Keadaan Sihat, ia terdiri daripada tujuh tajuk dasar iaitu; Unsur, Mizaj, Humor, Organ, Ruh, Tenaga dan Fungsi. Ketujuh-tujuh perkara ini dikenali juga sebagai Perkara Tabii, ia menghuraikan ciri-ciri manusia, sama ada ciri statik ataupun ciri dinamik.

7. Ciri statik boleh juga kita namakan sebagai komponen atau struktur, manakala ciri dinamik boleh kita namakan sebagai proses atau fungsi. Komponen manusia, ada yang abstrak dan ada yang material. Perkara Tabii yang dianggap sebagai komponen material ialah Unsur, Mizaj, Humor, Organ dan Ruh. Komponen abstrak pula ialah Tenaga. Interaksi antara komponen abstrak dan komponen material menghasilkan ciri dinamik iaitu apa yang kita namakan sebagai Fungsi.

8. Unsur merupakan komponen yang paling halus dan paling kecil, yang membentuk jasad manusia dan juga alam sekelilingnya. Secara keseluruhannya, terdapat lima jenis Unsur. Tetapi, Unsur yang terlibat dalam proses anabolik (pembinaan/takwin) dan katabolik (pemusnahan/tafsid) hanyalah empat Unsur iaitu Unsur Api, Unsur Angin, Unsur Air dan Unsur Tanah. Adapun Unsur kelima iaitu Unsur Asir (aether/akasha/angkasa), ia dianggap sebagai Unsur yang sangat stabil dan sangat seimbang, serta tidak terlibat dalam proses anabolik mahupun katabolik.

9. Dari sudut susunan, Unsur Tanah berada pada kedudukan pusat iaitu di tengah-tengah bagaikan nukleus. Unsur Tanah diliputi oleh Unsur Air, Unsur Air diliputi oleh Unsur Angin, Unsur Angin diliputi oleh Unsur Api. Liputan ini adalah berdasarkan susunan berat sesuatu Unsur, iaitu Unsur paling berat berada pada kedudukan paling tengah, manakala Unsur paling ringan berada pada kedudukan paling luar. Kedudukannya adalah tetap, sekiranya ia diubah oleh suatu tenaga, ia akan kembali ke tempat asalnya. Setiap Unsur itu mengelilingi Unsur yang diliputinya dalam orbitnya yang tersendiri, yang dikenali juga sebagai Falak Unsur.

Bersambung, inshaAllah...