24 June 2015

ASAS PERUBATAN GREEK-ARAB-MELAYU (SIRI 3)

Oleh : Naseer Sobree

10. Perkara Tabii yang kedua ialah Mizaj. Mizaj boleh difahami sebagai sifat dominan bagi gabungan Unsur. Apabila Unsur tidak bergabung, bahkan berada dalam keadaan simplex (tunggal), maka sifatnya ketika itu dinamakan Kualiti Pertamaan (kaifiah awwaliah). Ada empat jenis Kualiti Pertamaan iaitu; Panas, Sejuk, Kering dan Basah.

11. Unsur Api bersifat Panas-Kering. Unsur Angin bersifat Panas-Basah. Unsur Air bersifat Sejuk-Basah. Unsur Tanah bersifat Sejuk-Kering. Sifat-sifat itu kesemuanya dinamakan Kualiti Pertamaan. Adapun Unsur yang telah bergabung, sama ada bergabung dengan Unsur yang bersamaan jenis atau berlainan jenis, maka sifat gabungan unsur itu dinamakan Mizaj.

12. Ada Mizaj yang Seimbang yang terdiri daripada sifat Panas-Sejuk-Kering-Basah, dan ada Mizaj yang Takseimbang. Mizaj yang Takseimbang terbahagi kepada dua iaitu; Takseimbang Simplex dan Takseimbang Komplex (gabung). Mizaj Takseimbang Simplex terbahagi kepada empat iaitu; Panas, Sejuk, Kering dan Basah. Mizaj Takseimbang Komplex terbahagi kepada empat iaitu; Panas-Kering, Panas-Basah, Sejuk-Kering dan Sejuk-Basah. Jumlah kesemuanya ialah sembilan jenis Mizaj.

13. Contoh Mizaj Seimbang ialah gabungan Unsur Api-Air, kerana gabungan ini akan menghasilkan Mizaj Panas-Sejuk-Kering-Basah. Begitulah juga dengan gabungan Unsur Angin-Tanah dan Unsur Api-Angin-Air-Tanah.

14. Contoh Mizaj Takseimbang Simplex ialah gabungan Unsur Api-Angin, kerana terdapat dua Panas, satu Kering dan satu Basah, dua Panas itu menjadi sifat dominan mengalahkan satu Kering dan satu Basah, lalu sifat Panas itu dianggap sebagai Mizaj bagi gabungan itu. Begitulah juga dengan gabungan Unsur Air-Tanah.

15. Contoh Mizaj Takseimbang Komplex ialah gabungan Unsur Api-Api, kerana gabungan itu akan menghasilkan dua Panas dan dua Kering, maka sifat yang dominan ialah Panas dan Kering itu sendiri, lalu Panas-Kering itu dianggap sebagai Mizaj bagi gabungan itu. Begitulah juga dengan gabungan Unsur Angin-Angin, Unsur Air-Air dan Unsur Tanah-Tanah.

Bersambung, inshaAllah...