24 December 2025

Pembentangan Asas Existologi di UKM

EXISTOLOGI telah dibangunkan sejak sekitar 15 tahun yang lalu, sebagai satu projek ilmiah, intelektual, falsafah dan hikmah.

Existologi bukan sekadar hasil bacaan, telaah, taakul dan tafakur. Existologi terhasil daripada perjalanan hidup yang kompleks dan berliku. Maka ia bukan sekadar ilmu husuli, bahkan melibatkan ilmu huduri. Yang mengikuti perjalanan hidupku sejak dahulu, pasti akan memahami.

Existologi kini mempunyai jawapan asas bagi persoalan-persoalan ontologi, epistemologi dan aksiologi. Existologi juga merangkumi teori psike yang tersendiri.

Sebahagiannya telah tercatat dalam buku Dialog Existologi. Dalam buku itu, terdapat juga kata-kata hikmah daripada pelbagai individu, termasuklah mereka yang telah kembali menuju Wujud Haqiqi, yang mana kata-kata itu mungkin tidak dapat dibaca di tempat lain melainkan dalam buku tersebut.

Tidak lama lagi, prinsip asas Existologi akan dibentangkan secara umum buat pertama kalinya di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), inshaAllah. Hal ini tidak lain dan tidak bukan adalah untuk menjawab persoalan-persoalan yang sentiasa dibincangkan dalam kalangan ilmuwan, terutamanya dalam kalangan kaum Muslimin, yang mana sebahagian mereka terperangkap dalam sangkar tradisi, atau sangkar kemodenan.

Namun, tidak kesemuanya dapat diungkapkan dan dibentangkan, kerana masih sedang dibangunkan, atau kerana belum tiba masanya, atau kerana hanya boleh dicapai secara huduri.

Dr. Naseer Sobree
24 Disember 2025